MyMetroNodeKuala Lumpur: Saingan merebut tempat dalam skuad Harimau Malaya bagi menghadapi kempen pra kelayakan Piala Dunia 2018 dan kelayakan Piala Asia 2019 Jun ini pasti sengit apabila pengendali Dollah Salleh bakal menilai setiap prestasi pemain apabila latihan pusat bermula Ahad ini.
Sembilan belas pemain dipanggil bagi sesi latihan fasa pertama bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa dengan kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur di Stadium Shah Alam pada 27 Mei ini dengan hanya tujuh akan dikekalkan untuk menyertai fasa kedua pada 28 Mei membabitkan 13 pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) serta enam, Pahang.
Menurut Dollah, beliau belum mengesahkan jumlah pemain yang akan terus bersama Harimau Malaya bagi sesi latihan kedua selepas aksi dengan Spurs.
“Saya tidak tahu lagi, tengok situasi nanti. Saya akan nilai prestasi 19 pemain bagi sesi latihan pertama itu dulu semasa latihan dan perlawanan menentang Spurs.
“Saya tidak boleh menilai hanya menerusi aksi persahabatan itu kerana dalam perlawanan itu lima pemain import turut digunakan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro di Jepun.
Dollah, 52, yang pulang ke tanah air hari ini selepas menjalani kursus bersama Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) tampak lebih terbuka dalam pemilihan kali ini apabila memanggil tiga muka baru, Mohamad Ramdhan Ab Hamid (Harimau Muda B), Mohd Afiq Azmi (Selangor) dan Mohamad Nasir Basharuddin (Perak).
Pemain lama yang sebelum ini tidak dipanggil seperti Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim (Kelantan), Mohd Nor Farhan Mohamad (Kelantan), Ronny Harun (Sarawak), Yong Kuong Yong (Pulau Pinang) dan Christie Jayaseelan (FELDA United) turut kembali diberi peluang oleh bekas pemain kebangsaan itu.
Bagi aksi menentang Spurs, Dollah turut menggunakan khidmat lima pemain import Paulo Rangel (Terengganu), Ashfaq Ali (PDRM), Robert Cornthwaite, Guilherme De Paula (Selangor) dan Woong Nam Kung (Perak) bagi memperkuatkan skuad Pilihan Malaysia.
Seminggu selepas latihan fasa kedua bermula, pengendali itu dijangka membuat pemilihan terakhir 23 pemain menerusi aksi pemanas badan menentang Hong Kong di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 6 Jun nanti.
Ujian sebenar Harimau Malaya bermula apabila menentang Timor Leste pada 11 Jun dan Palestin (16 Jun) bagi kempen kelayakan Kumpulan A.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 7:15 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan