Pengendali skuad Tok Gajah, Dollah Salleh mengakui, JDT bermain lebih baik sepanjang 30 minit awal permainan manakala anak buahnya kelihatan agak leka khususnya di bahagian pertahanan yang menyebabkan pasukan tuan rumah mengambil kesempatan dengan menjaringkan dua gol pada babak awal.
“Saya lihat Pahang tidak bermain dengan begitu baik pada separuh masa pertama. Hanya pada separuh masa kedua mereka mula bermain mengikut displin seperti yang diterapkan semasa latihan.
“Pahang tidak banyak mencipta peluang dan yang ada pada minit-minit akhir permainan. Alhamdulillah, peluang itu dimanfaatkan dengan baik,” katanya di sini hari ini.
Perlawanan timbal balik suku akhir Piala FA di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos itu berkesudahan JDT menundukkan Pahang 2-1 namun skuad Tok Gajah mara ke peringkat separuh akhir menerusi agregat 4-3 selepas menang 3-1 di Kuantan pada 1 April lalu.
JDT menjaringkan gol pembukaan menerusi pemain dari Argentina, Gonzalo Cabrera seawal minit keenam disusuli jaringan Gabriel Miguel Guerra pada minit ke-22 namun Pahang yang tidak mudah patah semangat dilihat beransur-ansur memperkemaskan permainan dan jaringan penyerang importnya dari Gambia, Mohamadou Sumareh empat minit sebelum permainan berakhir menyingkirkan skuad Harimau Selatan selaku penyandang gelaran juara musim lalu.
Pahang yang kali terakhir menjulang Piala FA pada 2014 akan bertemu Negeri Sembilan dalam separuh akhir pertama Piala FA Jumaat ini.
Menurut Dollah, dia kurang berpuas hati dengan aksi anak buahnya dalam perlawanan tersebut dan perlu diperbaiki segera bagi mengharungi baki saingan Liga Super.
Katanya, dia mahu lebih fokus terhadap kelalaian dipamerkan skuad Tok Gajah yang menyebabkan mereka bolos dua gol ketika babak pertama.
Sementara itu, Sumareh menyifatkan perlawanan menentang JDT sebagai aksi penuh cabaran dan tugas menghadapi pasukan Harimau Selatan berkenaan perlu dilaksanakan dengan kesabaran tinggi.
“Perlawanan dengan JDT tidak pernah mudah kerana mereka sentiasa memaksa kami bekerja keras hingga minit-minit terakhir tanpa ingin berputus asa,” katanya.