Rabu, 6 Disember 2017

Dollah, Zainal terajui Shahzan Muda


 

ARKIB : 03/10/2008
KUALA LUMPUR – Bekas penyerang kembar negara, Zainal Abidin Hassan dan Dollah Salleh bakal bergandingan semula seperti zaman kegemilangan mereka pada era 80-an dan awal 90-an tetapi kali ini sebagai pengurus pasukan dan jurulatih kelab Liga Perdana, Shahzan Muda, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Mereka yang turut pernah mewakili Selangor dalam karier sebagai pemain, dijangka sama-sama menerajui kelab Pahang itu bagi menghadapi persaingan bola sepak Liga Malaysia yang menyingkap tirainya pada Januari tahun depan.

Zainal yang sebelum ini pernah melatih dan membawa Pahang memenangi Liga Super 2004 dan Piala FA 2006 sebelum beralih kepada pengurus musim 2007-2008, mengesahkan haluan barunya itu pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Subang Jaya, Selangor, semalam.

“Menerajui sebuah pasukan bersama-sama Dollah memang menjadi idaman saya sejak sekian lama setelah kami beberapa tahun bergandingan sebagai penyerang Selangor dan skuad kebangsaan,” katanya di mana anaknya, Zaiza Zainal bakal meneruskan khidmat selaku bek tengah Gergasi Merah bagi semusim lagi.

Teka-teki pasukan kendalian Dollah selepas khidmatnya tidak disambung oleh Selangor musim depan, terjawab dengan kenyataan Zainal itu walaupun sebelum ini rakan karibnya itu menyatakan mahu berehat terlebih dulu sepanjang bulan puasa lalu dan dikhabarkan mendapat tawaran Johor-Pasir Gudang.

Bagaimanapun kata Zainal: “Pada dasarnya saya bersetuju tetapi satu pengumuman rasmi akan dibuat oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, tidak lama lagi.”

Shahzan Muda sebelum ini dibimbing oleh Tajuddin Nor, dengan menduduki tempat ke-10 daripada persaingan 13 pasukan Liga Perdana dan terkandas pada pusingan pertama Piala FA kepada Kuala Lumpur secara agregat 4-0 sepanjang musim 2007-08 selain gagal ke Piala Malaysia.

Pencapaian Selangor di bawah Dollah pula sepanjang musim lalu menyaksikan skuad Merah Kuning di tangga keempat Liga Super, naib juara Piala FA dan Piala Malaysia sementara Zainal menguruskan Pahang yang menduduki tempat kelapan liga, separuh akhir Piala FA dan gagal melepasi peringkat kumpulan Piala Malaysia.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50TgnewVu

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 5 Disember 2017

Devan, Durakovic calon ganti Dollah

ARKIB : 11/09/2008
KUALA LUMPUR - Barisan kejurulatihan Selangor bagi menghadapi persaingan bola sepak Liga Malaysia 2009 mengalami rombakan besar-besaran dengan P. Maniam dinaikkan sebagai penolong jurulatih daripada skuad Piala Presiden manakala K. Devan dan Mehmet Durakovic dicalonkan sebagai pengganti Dollah Salleh yang khidmatnya tidak lagi disambung sebagai ketua jurulatih, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Pengurus pasukan Selangor, Zakaria Ab. Rahim berkata, usaha mendapatkan Devan atau Durakovic masih di peringkat rundingan yang bergantung kepada kemampuan tawaran gaji, perancangan dan kontrak mereka dengan majikan sekarang tetapi sesiapa yang dilantik, bakal ditetapkan sasaran menyamai tiga gelaran Liga M milik Kedah, baru-baru ini.

"Keputusan tidak meneruskan khidmat Dollah dibuat oleh pengurusan FAS (Persatuan Bola Sepak Selangor) yang mahukan pembaharuan dan kelainan persembahan pasukan supaya penyokong Merah Kuning kembali memenuhi stadium musim depan setelah mereka mengadu asyik dihidang benda yang sama," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Zakaria tidak menafikan kegagalan menyumbangkan walau satu piala pun sepanjang musim 2007-2008 mempengaruhi keputusan FAS itu namun Selangor kali ini mahu mencari seorang jurulatih yang mampu mencapai sasaran merangkul tiga gelaran semusim - Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA.

Katanya: "Kami juga mahu tetapkan sasaran buat ketua jurulatih baru ini supaya membawa Selangor layak ke Piala AFC 2010 menerusi kejayaan menjuarai Liga Super atau Piala FA musim 2009," katanya yang turut menganggap matlamat itu setimpal dengan reputasi Gergasi Merah di arena bola sepak tempatan.

Maniam menerajui skuad Bawah 19 Tahun Selangor menjuarai Piala Belia 2007 dan skuad Bawah 21 Tahun menjulang Piala Presiden 2008 yang mengakhiri penantian 10 tahun dengan menewaskan juara bertahan, Perak 1-0, bulan lalu.

Devan kini bersama Kuala Muda Naza manakala Durakovic, 43, pernah mewakili Selangor dari 1995 hingga 1998 dengan menjulang Piala Malaysia tiga kali berturut-turut (1995, 1996 dan 1997).
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0911&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz50OEdroOS

© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 30 November 2017

Perhitungan akhir Selangor- Kedah * Memburu gelaran

ARKIB : 23/08/2008
Oleh SAYED HESHAM IDRIS DAN WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY
KUALA LUMPUR – Selangor sudah bersedia untuk menyekat hajat Kedah yang mahu mencatat kejuaraan ‘treble berganda’ apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Jurulatih Selangor, Dollah Salleh berkata, Selangor optimis mampu menghampakan impian Kedah daripada menyapu bersih enam piala Liga Malaysia dalam tempoh dua musim.

Beliau berkata, walaupun rekod pertembungan sepanjang musim ini lebih memihak kepada Kedah, pasukannya mahu melupakan semua itu sebaliknya yakin keputusan akan memihak kepada Selangor pada final hari ini.

‘‘Saya akui Kedah tampak memiliki kelebihan dan cukup bersemangat selepas merangkul dua piala setakat ini (Liga Super dan Piala FA).

‘‘Namun final Piala Malaysia sentiasa merupakan satu perlawanan yang berbeza.

‘‘Bahang final, tekanan dan harapan yang tinggi digalas oleh pasukan pilihan seperti Kedah pastinya akan memberi kelebihan kepada kami.

‘‘Saya juga lega apabila semua pemain utama Selangor bebas dari kecederaan dan dapat beraksi dalam perlawanan bersejarah esok (hari ini),’’ katanya pada sidang akhbar praperlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Selain memastikan kemenangan Selangor, Dollah juga memburu kepuasan peribadi kerana baginya perjuangan Selangor hanya akan selesai selepas menjulang Piala Malaysia.

‘‘Memenangi piala keramat Piala Malaysia saya anggap sebagai satu kepuasan dan jika menang esok, maka barulah saya anggap misi Selangor sudah tercapai,’’ katanya.

Mengenai strategi menentang Kedah, Dollah mengakui dia resah memikirkan percaturan yang akan digunakan untuk menentang pasukan yang mantap seperti Kedah.

‘‘Saya sedang memikirkan barisan kesebelasan yang akan diturunkan. Ada beberapa pemain yang semakin menonjol sejak kebelakangan ini dan saya mungkin menurunkannya,” ujarnya.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0823&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zvGTbSdr

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 29 November 2017

Dollah arah tingkat prestasi

ARKIB : 12/08/2008
KUALA LUMPUR - Selangor tidak akan melangkah ke perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia jika para pemainnya tidak meningkatkan prestasi ketika menentang Johor FC dalam saingan separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam esok, kata jurulatih mereka, Dollah Salleh.
Beliau meramalkan Selangor gagal ke final jika masih bermain pada tahap yang sama ketika menentang PDRM pada saingan suku akhir Sabtu lepas.
"Saya sudah menasihatkan semua pemain supaya meningkatkan prestasi permainan dari segi semua aspek kerana pada perlawanan itu (menentang PDRM) mereka bermain di luar kemampuan sebenar," katanya semalam.
Dollah yang pernah membawa Selangor menjuarai Piala Malaysia pada 2005 berkata, anak didiknya boleh memberi corak permainan yang lebih menarik seterusnya mara ke final dan mungkin muncul juara.
"Ketika menentang Singapura dalam Piala Sultan Selangor Julai lepas, prestasi mereka di tahap terbaik tapi selepas rehat dua minggu, nampaknya menurun," katanya.
Dollah berkata, peluang Selangor dan Johor FC, yang berstatus kelab, adalah seimbang kerana kedua-dua pasukan mempunyai pemain kebangsaan.
"Kami akan memberikan yang terbaik, dan waspada ketika berkunjung ke tempat lawan nanti kerana pada perlawanan suku akhir Johor FC mengalahkan UPB-MyTEAM 5-1 di gelanggang sendiri walaupun tewas 1-3 di tempat lawan," katanya.
Dollah berkata, skuad Selangor kini bebas dari sebarang kecederaan serius kecuali Amirulhadi Zainal yang mengalami kecederaan buku lali, namun jika perlu, posisinya boleh diisi beberapa pemain lain.
Selangor yang juga merupakan juara Piala Malaysia sebanyak 32 kali mara ke separuh akhir walaupun seri 3-3 Sabtu lepas dengan PDRM.
- Bernama



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mungkin mereka hanya penjual jam - Dollah Salleh

ARKIB : 06/08/2008
KUALA LUMPUR - Pengalaman pernah bermain dengan pemain import yang hebat seperti Ervin Boban, Jan Janostak, Abbas Saad, David Mitchell dan ramai lagi pada era 90-an menyebabkan para pemain veteran mempunyai pendapat tersendiri tentang keputusan pembatalan penggunaan pemain import oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), lapor FERZALFIE FAUZI.

Dollah Salleh yang pernah mencipta nama dengan pasukan Pahang pada era 90-an berkata, pemain import yang beraksi sekarang ini sama sahaja dengan zaman 90-an tetapi apa yang bezanya negeri atau kelab tidak mempunyai kewangan yang kukuh untuk mendapatkan yang terbaik.

''Apabila sesebuah pasukan tidak mampu untuk membeli pemain import berkualiti mereka akan mengambil pemain sekadar tangkap muat, mana tahu mungkin penjual jam di sekitar Lembah Klang.

''Ini berbalik kepada tahap kewangan mereka (kelab/negeri), pasukan seperti Kedah, Selangor dan MyTeam mempunyai kewangan yang kukuh dan mengambil pemain import yang berkualiti,'' kata Dollah yang pernah beraksi bersama pemain import seperti Alan Davidson dan Abduraimov Azamat.

Nada yang sama turut diutarakan oleh bekas pemain Selangor, Shahril Arsat, yang mengatakan pemain import perlu dibenarkan beraksi dalam liga tempatan kerana mereka berjaya membawa kelainan dari segi corak permainan, kepantasan dan semangat tinggi.

''Pada era 90-an dahulu semua pemain import yang dibawa berkualiti berbanding sekarang dan mereka menjadi contoh terbaik kepada kami untuk terus beraksi seperti mereka atau lebih hebat dari itu,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, sekarang ini hanya sebahagian sahaja pemain import yang hebat manakala selebihnya masih boleh diragui kualiti dan corak permainan.

''Keputusan yang dibuat oleh FAM ada baik dan buruknya tetapi semua ini terletak kepada pihak pengurusan negeri dan kelab tersebut, jika mereka mempunyai sumber kewangan yang kukuh tidak mustahil pemain yang berkualiti mampu untuk dibawa masuk.

''Manakala pasukan yang agak goyah dari segi sumber kewangan pula perlu berfikir mendalam sama ada perlu atau tidak perlu mengambil pemain import bukan sahaja ambil sekadar tangkap muat,'' katanya.

Bagi bekas pemain Perlis dan Kedah, Manja Man pula berkata, keputusan tersebut mempunyai pro dan kontra yang perlu difahami oleh semua peminat bola sepak.

''Tanpa pemain import ia akan sedikit sebanyak memberi peluang kepada pemain tempatan untuk menonjol tetapi dalam masa yang sama ia tidak mampu untuk menarik minat penonton datang ke stadium.

''Jika pemain tempatan tidak beraksi dengan baik tanpa pemain import perlawanan akan menjadi suram dan akan memberi masalah kepada persatuan dari segi jumlah kutipan tiket,'' kata Manja.

Ujarnya, mungkin FAM sudah melihat potensi pemain penyerang seperti Farderin Kadir, Zaquan Adha Abd. Razak dan Safee Sali semakin menonjol dan memberi ruang sepenuhnya untuk mereka beraksi dengan bebas tanpa dibayangi pemain import.

"Apabila mempunyai peluang seperti ini penyerang tempatan perlu menunjukkan kemampuan mereka yang sebenar dan inilah masa terbaik untuk semua pasukan menggilap penyerang muda mereka,'' kata Manja yang sekarang ini menjadi pembantu jurulatih pasukan Perlis.

Bagaimanapun dia tidak menolak kemungkinan pemain tempatan akan mula meletakkan harga tinggi selepas ketiadaan pemain import.

Bekas penyerang Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff, pula berpendapat pembatalan penggunaan pemain import musim depan memberi kesan positif dan negatif kepada bola sepak tempatan.

''Dari segi positif ia memberi peluang untuk pemain tempatan bersaing sesama sendiri dan dari segi negatifnya liga tempatan mungkin akan suram.

''Pada zaman 90-an pemain import yang dibawa masuk memang hebat dan dalam masa yang sama pemain tempatan yang ada juga berjaya memberi saingan yang hebat seperti Faridzuan Che Hamid (Kedah), Ariffin Osman (Terengganu), Azman Adnan (Selangor) dan Matlan Marjan (Sabah),'' kata Nidzam.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0806&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zriOrg5R

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ada sokong, ada menentang

ARKIB : 04/08/2008
Oleh ABD. HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR - Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghentikan penggunaan khidmat pemain import dalam Liga Malaysia mulai musim depan mendapat reaksi berbeza daripada beberapa jurulatih dan pengurus tempatan sehingga ada segelintir daripada mereka kurang senang dengan langkah drastik itu.

Jurulatih negara, B. Sathianathan menyifatkan arahan itu sebagai satu langkah yang baik memandangkan ia telah membuka semula peluang untuk pemain tempatan khususnya penyerang membuktikan kemampuan sebenar.

"Taraf pemain import sekarang pun kecuali beberapa orang, tiada bezanya dengan pemain tempatan. Jadi jika mereka tiada, semua pasukan akan kembali berharapkan pemain tempatan dan keupayaan dan kemantapan skuad negara hanya boleh diukur menerusi pengalaman dan kekerapan bermain dalam liga.

"Kebanyakan pasukan memang gemar mengambil penyerang import dan tempatnya dalam kesebelasan utama sudah tetap kecuali jika ada kecederaan atau digantung.

"Saya fikir masanya (larangan pemain import) memang tepat sekali. Mengambil mereka memerlukan kos yang besar tetapi jika timbul masalah gaji pemain banyak pasukan tidak berbayar, mengapa perlu lagi diteruskan? Lebih baik kita berjimat cermat," katanya.

Sathianathan yang cukup terasa dengan ketandusan pengalaman pemain negara gara-gara kurang beraksi dalam perlawanan liga ketika menentang Chelsea Selasa lalu, mengulas mengenai keputusan Majlis FAM untuk menolak semula khidmat pemain import seperti yang dilakukan pada 1999 hingga 2001.

Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin mendedahkan betapa kemunculan pemain import dalam Liga Malaysia masih gagal menyumbangkan sesuatu yang membina kepada kemajuan bola sepak negara apatah lagi tidak mencapai tahap yang sepatutnya dan tiada daya tarikan penonton untuk menghadiri stadium.

Dalam pada itu, jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah yang bakal kehilangan penjaring terbanyak liga, Marlon Alex James, Nelson Sam Martin dan Cornelius Bernard Huggings berkata: "Ia satu keputusan yang berat hati untuk diterima tetapi sebaliknya, ia memberikan ruang kepada semua negeri dan kelab mengerah bakat dan kemampuan sebenar pemain tempatan mereka khususnya belia.

"Mutu persaingan liga kita masih boleh meningkat sekalipun tanpa tonggak import dan mungkin inilah peluangnya untuk pemain tempatan mencapai kematangan dengan lebih pendedahan perlawanan," katanya.

Ramlan Rashid yang mengemudi Johor FC mara ke suku akhir Piala Malaysia daripada Kumpulan B, berkata: "Ada atau tidak pemain import pun bukan faktor utama kehadiran ramai penonton ke stadium. Selagi sesebuah pasukan itu yang tidak berjaya dalam sebarang pertandingan, pemain import mana pun tidak akan membantu. Ini memang budaya bola sepak kita."

Keputusan FAM bagaimanapun kurang disenangi pengurus pasukan Selangor, Zakaria Ab. Rahim yang mendakwa telah menentangnya sejak sesi percambahan fikiran beberapa minggu terdahulu dengan menawarkan sedikit kelonggaran berhubung khidmat import.

"Ketika itu saya dengan Dollah Salleh (jurulatih Selangor) menyarankan supaya pasukan yang mempunyai kemampuan kewangan, bebas untuk mengambil pemain import kerana saya tidak nampak, kehadiran mereka boleh menimbulkan persaingan yang tidak adil kepada pasukan lain tanpa import," katanya.

Sementara itu, jurulatih Perlis, Irfan Bakti Abu Salim yang mengambil alih pasukan pada pertengahan musim liga daripada Abdul Rahman Ibrahim pula mempertikaikan ketepatan masa bagi FAM mengumumkan larangan itu sedangkan Piala Malaysia hanya akan berakhir bulan ini dengan turut melibatkan ramai lagi pemain import.

"Tumpuan dan prestasi pemain import saya pun agak terjejas. Mengapa langkah ini diumumkan terlalu awal? Piala Malaysia pun baru mahu nak masuk suku akhir dan khidmat mereka mungkin masih digunakan lagi dalam lima perlawanan termasuk sekiranya dua ke perlawanan akhir (23 Ogos)," katanya yang pernah menjadi jurulatih import Liga Indonesia di Persipura Jayapura.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zrU9trGD

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 28 November 2017

Dollah pertahan anak buah

ARKIB : 17/07/2008
Oleh sayed hesham idris
KUALA LUMPUR - Jurulatih Selangor, Dollah Salleh berkata, pasukannya layak ke suku akhir dalam saingan bola sepak Piala Malaysia bukan disebabkan tiga mata percuma yang diterima pasukan itu gara-gara Negeri Sembilan melanggar peraturan perlawanan.

Menurut Dollah, Selangor layak ke suku akhir kerana keupayaan pemain mencatatkan kemenangan demi kemenangan dengan yang terbaru menewaskan Kelantan 4-1 kelmarin.

Katanya, dia telah memberitahu pemain supaya tidak memikirkan soal tiga mata yang diberikan kepada Selangor, sebaliknya layak ke suku akhir di atas keupayaan sendiri.

''Saya tidak mahu bercakap kejayaan kita ini (ke suku akhir) atas dasar tiga mata yang diberikan kepada kami.

''Sebaliknya saya melihat keupayaan kami melangkah ke suku akhir adalah kerana usaha kami.

''Kami pernah bergelut dengan masalah prestasi di peringkat awal saingan, namun kini kami bangkit dengan kemenangan.

''Kami menyandarkan peluang kami ke suku akhir menerusi kemenangan dan bukannya tiga mata tersebut,'' katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Isnin lepas jawatankuasa pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memotong tiga mata daripada Negeri Sembilan akibat menukar seorang pemain bawah 21 tahun dengan seorang pemain import ketika menentang Selangor di Stadium Shah Alam pada 27 Jun lalu.

Peraturan FAM menetapkan seorang pemain Bawah 21 tahun mesti diturunkan sepanjang tempoh permainan 90 minit.

Dengan keputusan itu, Selangor diberi tiga mata dan naik ke tangga teratas dengan 19 mata, diikuti Kelantan (15) dan Terengganu (14).

Kedudukan itu sudah cukup untuk menjamin Selangor ke suku akhir tanpa perlu menunggu berakhirnya perlawanan pusingan kedua.

''Kita sudah layak ke suku akhir cuma sekarang ialah penentuan juara kumpulan.

''Saya menganggap kedudukan itu sebagai kejayaan para pemain yang memberikan aksi bersungguh-sungguh untuk menang di setiap perlawanan.

''Kita sudah kembali ke landasan kemenangan dan berharap prestasi ini akan diteruskan sehingga ke hujungan saingan,'' katanya.

Sementara itu, juara bertahan, Kedah yang kehilangan tokoh bola sepak Datuk Ahmad Basri Akil yang kembali ke Rahmatullah, kelmarin semakin mencerahkan peluang ke suku akhir selepas menang besar 5-1 ke atas Sabah kelmarin.

Kemenangan tersebut meneruskan kejayaan menewaskan Kuala Lumpur 4-1 sebelum ini walaupun kehilangan beberapa tonggak utama yang menyertai kem latihan skuad kebangsaan.

Terengganu pula berpeluang mengiringi Selangor ke suku akhir tetapi terpaksa menunggu sekurang-kurang satu perlawanan lagi selepas mencatat kemenangan 4-0 ke atas Melaka di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, kelmarin.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0717&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4zlfaCyv4

© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 27 November 2017

Tiada masalah dalaman - Dollah

ARKIB : 05/07/2008
Oleh FERZALFIE FAUZI
SHAH ALAM - Kemenangan Selangor ke atas Melaka kelmarin seolah-olah menyangkal dakwaan kononnya wujud masalah dalaman antara pemain dan pihak pengurusan dan meletakkan mereka kembali ke landasan sebenar meraih kejuaraan Piala Malaysia.

Jurulatihnya Dollah Salleh berkata, tidak wujud sebarang masalah dalaman seperti yang digembar-gemburkan, terutamanya ketika mereka tewas dalam dua perlawanan kepada kepada Negeri Sembilan dan Kelantan.

''Semuanya berjalan lancar dan tiada sebarang masalah antara pemain bersama pihak pengurusan, kekalahan kami sebelum ini adalah disebabkan faktor keletihan sahaja, selepas bermain empat perlawanan dalam 10 hari," katanya kepada media selepas perlawanan selepas mengalahkan Melaka 5-2 dalam saingan Piala Malaysia Kumpulan A.

Jelasnya, pemain, jurulatih dan pihak pengurusan tidak pernah bercakaran atau bermasam muka antara satu sama lain malah mereka sentiasa duduk berbincang bersama untuk meningkatkan persembahan pasukan Selangor dari masa ke semasa.

''Sebelum perlawanan, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad, Pengurus Pasukan, Zakaria Ab. Rahim dan saya makan tengah hari bersama sambil membincangkan mengenai permainan Selangor, ia menunjukkan tiada masalah besar yang berlaku antara kami.

''Pemain pula gembira selepas perlawanan malam ini (kelmarin), saya lihat mereka penuh bersemangat dan ketika di dalam bilik persalinan selepas rehat separuh masa pertama saya hanya memberi kata-kata semangat selama dua minit dengan menyuruh mereka menikmati baki perlawanan tanpa sebarang tekanan," kata Dollah.

Ditanya mengenai kain rentang yang menunjukkan rasa protes di kalangan segelintir penyokong Selangor, Dollah berkata itu adalah hak penyokong dan menjadi lumrah di dalam bola sepak.

''Ini adalah perkara biasa di dalam bola sepak peminat berhak menunjukkan rasa tidak puas hati mereka," kata Dollah.

Dalam pada itu Dollah amat berpuas hati dengan corak yang dipamerkan Selangor tetapi apa yang merisaukannya ialah kehilangan pemain yang akan menjalani latihan bersama pasukan Malaysia dan tidak menolak kemungkinan untuk menurunkan pemain dari Piala Presiden.

''Jika pemain saya dipanggil menjalani latihan pasukan kebangsaan, saya terpaksa memanggil pemain dari Piala Presiden, bagaimanapun saya amat berpuas hati dengan permainan pasukan saya pada malam ini.

''Ini juga adalah kali pertama saya meletakkan Amirul Hadi Zainal sebagai pemain penyerang dan dia mampu menjalankan tugas sebagai penjaring gol selepas meledakkan dua gol malam ini," katanya.

Sementara itu Zakaria berkata, pemain sudah membuktikan kepada peminat bahawa mereka masih lagi layak digelarkan pasukan terkuat dalam saingan Piala Malaysia.

''Saya berpuas hati dengan permainan pemain Selangor malam ini, mereka menunjukkan kesungguhan dan kesepakatan bagi menebus kekecewaan sebelum ini," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zdUbiIU9

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 26 November 2017

Selangor yakin benam Perlis

ARKIB : 03/06/2008
KUALA TERENGGANU - Selangor mahu meneruskan rentak cemerlangnya apabila berdepan Perlis pada suku akhir bola sepak Sukan Malaysia XII, hari ini.

Selangor muncul juara Kumpulan B dengan sembilan mata, memegang dua rekod pada saingan peringkat kumpulan iaitu pasukan paling banyak menjaringkan gol dengan enam jaringan dan pasukan tunggal yang belum lagi melepaskan gol.

Rekod terbaik pasukan itu kali terakhir menduduki tempat keempat di Sukma X 2004 Negeri Sembilan, namun kali ini menyasarkan aksi ke pentas final selepas muncul juara kumpulan dengan menewaskan Kedah 1-0 dalam perlawanan terakhir kumpulan, kelmarin.

Jurulatih Selangor, Dollah Salleh berkata, Selangor akan memberikan yang terbaik apabila bertemu Perlis dan menganggap naib juara Kumpulan C itu sebagai pasukan yang mempunyai kemampuan tersendiri.

Jelasnya, para pemain sudah bersedia untuk meneruskan aksi terbaik apatah lagi selepas menewaskan Kedah 1-0, malam kelmarin.

"Saya sifatkan perlawanan dengan Kedah sebagai paling sengit dan persembahan terbaik Selangor dengan corak permainan pantas dan keupayaan menyekat serangan bertali arus Kedah terutama pada babak kedua.

"Saya yakin jika pemain meneruskan permainan seperti ini (kelmarin), kita mampu melepasi peringkat suku akhir esok (hari ini)," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0603&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4zYBVBx3e

© Utusan Melayu (M) Bhd

Dollah Salleh tidak cemburu dengan Zainal Abidin Hassan

Astro Arena |  Diterbitkan pada Januari 06, 2016 10:37 MYT

Facebook  Twitter  Email  Google  whatsapp icon
Dollah Salleh tidak cemburu dengan Zainal Abidin Hassan
DOLLAH: Inilah cabaran yang saya cari...untuk menjadikan Perlis sebagai pasukan yang disegani semula.
Ketua Jurulatih baharu Perlis, Dollah Salleh menyifatkan cabaran menaikkan semula pasukannya lebih memuaskan berbanding menduduki kerusi panas pasukan besar seperti rakannya iaitu pengendali Selangor, Zainal Abidin Hassan.

Menurut laporan Bernama, Dollah tidak ada sebarang perasaan cemburu terhadap Zainal Abidin yang akhirnya dilantik sebagai ketua jurulatih baharu bagi juara Piala Malaysia 2015 itu.

"Saya tidak cemburu atau terasa kerana memilih Perlis yang kerdil dan serba kekurangan," kata Dollah.

Sementara itu, Dollah mengharapkan para penyokong skuad Singa Utara mula memenuhkan kekosongan di Stadium Tuanku Syed Putra namun sedar dia perlu membuktikan dirinya kepada mereka terlebih dahulu.

"Saya sedar banyak perkara dan kerja keras perlu dilakukan untuk membina pasukan ini agar peminat dan penyokong tegar Singa Utara kembali menyokong kami.

"Tapi inilah yang saya cari iaitu cabaran untuk menjadikan Perlis sebagai pasukan yang disegani semula," kata bekas jurulatih kebangsaan itu," tambahnya.

Bagi saingan Liga Perdana 2016, pasukan Perlis diperkuatkan kehadiran bekas pemain kebangsaan, Mohd Afif Amiruddin dan empat pemain import dari Afrika iaitu Gregory Junior Nwokolo, Obinna Nwaneri, Mohamadou Sumareh dan Edward Junior Wilson.

Manakala tiga bekas pemain PDRM iaitu Alafi Mahmud, V Thirumuragan, Fauzi Majid dan Saiful Amar Sudar turut menyertai skuad Dollah
Sumber-http://www.astroawani.com/berita-sukan/dollah-salleh-tidak-cemburu-dengan-zainal-abidin-hassan-88239


Ahad, 19 November 2017

Dollah, Selangor terima padah



ARKIB : 11/04/2008

PETALING JAYA - Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) didenda RM20,000 dan tiga mata pasukan itu dalam Liga Super dipotong selepas didapati bersalah berhubung kes empat pemainnya pulang awal pada sesi akhir klinik bola sepak Ian Rush pada 26 Mac lalu, lapor SAYED HESHAM IDRIS.

Selain itu, jurulatihnya, Dollah Salleh didenda RM10,000 manakala empat pemain terlibat iaitu Akmal Rizal Rakhli, Safee Sali, Indra Putra Mahayuddin dan Amirulhadi Zainal masing-masing didenda RM1,000.

Pengerusi Jawatankuasa Tataterib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Aseh Che Mat berkata, jawatankuasa itu mendapati FAS bersalah memanggil balik keempat-empat pemain tersebut tanpa kebenaran.

Katanya, jurulatih yang bertindak melindungi pemain dengan memanggil mereka pulang, jelas tidak menghormati FAM.

''FAM terpaksa bertindak tegas mengenakan hukuman ini, jika tidak, kewibawaan FAM akan dipertikai dan FAS juga diberi amaran keras,'' katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Wisma FAM di sini, semalam.

Dollah dan keempat-empat pemain terlibat hadir pada mesyuarat tersebut.

Mengenai hukuman pemotongan mata pasukan Selangor dalam Liga Super sedangkan kesalahan yang dilakukan oleh pemain kerana mahu menumpukan aksi Piala FA, Aseh berkata, hukuman tersebut mengikut peraturan.

Jelasnya, berdasarkan peraturan, pasukan wajib melepaskan pemain yang dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan atau lain-lain program kelolaan FAM.

Katanya, mana-mana pasukan yang bersalah melanggar peraturan dikenakan denda maksimum RM50,000 dan tiga mata dalam Liga Malaysia dipotong.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0411&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4yrvHsuDQ
© Utusan Melayu (M) Bhd