Isnin, 31 Julai 2017

Harimau Malaya temu Tottenham 27 Mei

Oleh Wan Fakhrul Bakar
wanfakhrul@bh.com.my
 
SKUAD Harimau Malaya akan berlepas ke Muscat untuk perlawanan persabahatan menetang Oman pada 26 Mac ini ketika di KLIA. - Foto Hasriyasyah Sabudin
SEPANG: Dengan hanya satu perlawanan persahabatan antarabangsa dapat diatur bertemu Oman, Khamis ini, skuad Harimau Malaya berpeluang menghadapi kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham pada aksi persahabatan di ibu negara, 27 Mei ini.

Ia juga sebagai persiapan terakhir menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2018 merangkap Kelayakan Piala Asia 2019 bermula 11 Jun ini.

Jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh berkata, kesuntukan masa untuk mengadakan lebih banyak aksi persahabatan antarabangsa tahun ini berikutan jadual padat Liga Malaysia menyebabkan dia akan menggunakan aksi bertemu Tottenham itu sebagai antara peluang terakhirnya menguji pemain.

"Setakat ini, tiada perlawanan antarabangsa lain dapat disahkan kecuali aksi bertemu Tottenham pada 27 Mei ini selain aksi bertemu Liverpool pada 24 Julai ini.

"Biarpun kita masih menggunakan nama Pilihan Malaysia untuk kedua-dua perlawanan dengan kelab Liga Perdana Inggeris ini, tapi saya akan mengekalkan 100 peratus pemain tempatan," kata Dollah ketika ditemui di KLIA, di sini, sebentar tadi.

Dollah dan 20 pemain Harimau Malaya berlepas ke Muscat, Oman untuk menghadapi aksi persahabatan menentang Oman yang kini berada di ranking ke-96 dunia berbanding Malaysia di ranking ke-153.

Undian untuk dua saingan kelayakan yang berlangsung secara serentak itu akan diadakan di Ibu Pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Bukit Jalil, 14 April ini dengan dua perlawanan awal peringkat kumpulan saingan kelayakan dijadual berlangsung 11 dan 16 Jun ini.

SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Isnin, 23 March 2015 | 3:23pm

Usah gantung jurulatih terlalu lama - PJBSM

Sabtu, 29 Julai 2017 | 7:45pm

B Sathianathan. - Foto Osman Adnan
Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBSM) akan mengusulkan cadangan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengubah undang-undang sedia ada supaya tiada lagi jurulatih digantung terlalu lama kerana kesalahan tertentu.

Presiden PJBSM, B Sathianathan, berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat minggu depan untuk membincangkan cadangan itu sebelum diusulkan kepada badan induk terbabit.

Katanya, usul itu turut merangkumi cadangan supaya jurulatih yang didapati bersalah hanya dikenakan denda dan bukan penggantungan sehingga boleh menjejaskan masa depan mereka.

"Kita hanya mahu minta FAM ubah undang-undang mengikut perspektif seorang jurulatih. Memang jurulatih bertanggungjawab dengan kenyataan mereka, tapi sepatutnya mereka hanya dikenakan denda.

"Kalau di Eropah, jurulatih tidak digantung sampai satu atau dua tahun kerana penggantungan itu akan memberi kesan kepada kontrak, sekali gus menyebabkan mereka tidak boleh bekerja dan hilang mata pencarian.

"Bila kontrak batal, mana mereka nak dapat mata pencarian untuk tanggung keluarga? Kita kena lihat perkara ini dan cadangan yang kita akan buat ini juga melalui FAM serta mengikut prosedur," katanya kepada BH Sukan.

Jurulatih Pahang, Dollah Salleh menjadi jurulatih terbaharu dihukum FAM dengan penggantungan selama 18 bulan berserta denda RM30,000 kerana didakwa mengeluarkan kenyataan yang tidak dibenarkan badan induk itu.

Menerusi cadangan sama, Sathianathan juga menjelaskan, pihaknya akan mengusulkan supaya denda yang dikenakan berdasarkan gaji jurulatih itu dan bukannya menerusi kadar yang ditetapkan FAM.

"Denda juga tidak boleh dengan kadar tertentu contohnya RM30,000 atau RM60,000. Mungkin denda itu boleh dikenakan untuk dua atau tiga bulan gaji.

"Ia disebabkan sesetengah jurulatih bergaji rendah dan ada yang bergaji tinggi. Apapun, ini semua cadangan saja dan kita tak tahu sama ada akan diterima atau tidak," katanya.

Sumber BERITA HARIAN ONLINE  Sabtu, 29 Julai 2017 | 7:45pm

Jumaat, 28 Julai 2017

PBNP ada hak tamatkan kontrak Dollah

Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) boleh menamatkan kontrak Dollah Salleh jika mereka mahu.

Ia berikutan penggantungan selama sembilan bulan tidak boleh terbabit dalam aktiviti bola sepak yang dikenakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke atas Dollah, sejak Jumaat lalu.

Ejen pemain berpengalaman, Effendi Jagan Abdullah menjelaskan, jika menurut kontrak biasa, jurulatih yang digantung boleh ditamatkan perkhidmatan mereka oleh pasukan.


Ejen pemain berpengalaman, Effendi Jagan Abdullah. - Foto NSTP/Osman Adnan
Bagaimanapun, beliau berkata ia bergantung kepada budi bicara pasukan dan PBNP perlu mendapatkan penjelasan daripada Dollah menerusi surat tunjuk sebab terlebih dulu.

"Kebiasaannya ia (menamatkan perkhidmatan jurulatih) sudah terkandung dalam kandungan kontrak jurulatih dengan pasukan.

"Apapun, ia tetap tertakluk kepada budi bicara pasukan sama ada mahu terus mengekalkan atau menamatkan kontrak jurulatih itu," katanya kepada BH Sukan.

Dollah digantung selama 18 bulan dan denda RM30,000 dengan penggantungan sembilan bulan pertama (dari 21 Julai 2017 hingga 20 April 2018) dan baki 9 bulan kedua (21 April 2018 hingga 20 Januari 2019) ditangguh terlebih dahulu, tertakluk kepada kepada kelakuan baik beliau.

Selain itu, Effendi turut tidak menolak kemungkinan PBNP akan mengekalkan Dollah kerana sumbangannya yang besar kepada bola sepak Pahang.

"Saya fikir hukuman Dollah akan dikurangkan selepas dia mengemukakan rayuan dan PBNP juga mungkin akan mengekalkan khidmatnya bersama pasukan," katanya.
Sumber- BERITA HARIAN ONLINE Khamis, 27 Julai 2017 | 10:01pm



Tok Gajah mahu tiga mata

 
PEMAIN Pahang jalani latihan sebelum bertemu Pulau Pinang.
Kuantan: Pahang masih terkejut dengan khabar penggantungan jurulatih Dollah Salleh, tetap dengan misi meraih tiga mata apabila bertemu Pulau Pinang di Stadium Negeri, Batu Kawan, malam ini.

Biarpun akur Dollah yang juga bekas jurulatih kebangsaan tidak lagi membimbing Tok Gajah sejak Sabtu lalu, pemain Pahang berazam mengekalkan aksi konsisten seperti dipamerkan ketika membenam Melaka United 2-0.

Kemenangan ke atas Melaka memberikan suntikan moral selepas Pahang gagal meraih kemenangan dalam tiga perlawanan Piala Malaysia.

Penjaga gol Pahang Wan Azraie Wan Teh berkata, ketiadaan Dollah sememangnya dirasai semua pemain tetapi mereka perlu meneruskan usaha menambah pungutan mata.

Katanya, Pulau Pinang yang memerlukan kemenangan sudah pasti mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dan ia menuntut pemain Pahang supaya menumpukan sepenuh perhatian kepada perlawanan.

“Kami tidak boleh memandang rendah keupayaan Pulau Pinang kerana mereka mahu menyelamatkan diri daripada tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

“Oleh itu, kami perlu menajamkan jentera serangan dan memastikan bahagian tengah serta pertahanan kekal bertahan untuk menyekat tuan rumah daripada membolosi gawang,” katanya.

Berbaki lima perlawanan, Pahang menduduki tangga ketiga dengan 30 mata.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 8:55 AM

Khamis, 27 Julai 2017

Pemain import susahkan Harimau Malaya: Dollah

Oleh Wan Fakhrul Bakar
wanfakhrul@bh.com.my
 
REAKSI Dollah salleh (kiri) selepas pasukkannya tumpas pada perlawanan Akhir kedua Piala Suzuki AFF 2014.
KUALA LUMPUR: Carta penjaring terbanyak yang kini dikuasai peledak import dalam Liga Malaysia mula mencetus rasa gelisah jurulatih skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh.

Melihat perkembangan itu membuatkan Dollah sedikit sukar dalam menentukan siapa penyerang yang bakal dipertaruhkan di pentas antarabangsa sekali gus menjadi penjaring berbisa buat pasukan kebangsaan kelak.

Kepincangan itu mungkin bermula menjelang aksi persahabatan sulung skuad negara tahun ini bertemu pasukan ranking ke-91 dunia, Oman, di Stadium Al-Seeb, Muscat, 26 Mac ini.

Dilema dialami pengendali berusia 52 tahun itu berikutan kegagalan penyerang tempatan untuk menyerlah setakat empat perlawanan awal Liga Super musim ini.

Lantas keadaan ini menyaksikan carta senarai penjaring terbanyak kini didominasi penyerang import yang nyata lebih menyelerakan pilihan jurulatih pasukan negeri dan kelab untuk diturunkan.


KETUA Jurulatih , Dollah salleh. - Foto Osman Adnan
Namun, bagi Dollah, itu tidak membuat beliau 'pening kepala', sebaliknya menganggap ia bukan masalah besar apabila bersedia memanggil mana-mana penyerang tempatan yang dirasakan sesuai biarpun mereka mungkin masih belum menemui sentuhan gol.

Bagaimanapun siapakah pemain berkenaan masih menjadi persoalan menjelang kem latihan pusat bermula 18 Mac ini apabila Dollah belum mengeluarkan senarai rasmi nama pelatihnya.

"Tidak memeningkan. Saya akan panggil saja pemain yang saya rasakan sesuai. Tapi saya akan lihat aksi pemain dalam perlawanan keempat Liga Super (malam kelmarin).

"Saya pun tak tahu nak cakap lagi siapa yang akan saya senaraikan tapi saya dan staf kejurulatihan masih lagi cuba menilai pemain yang ada. Tapi memang saya akui, kita sedikit bermasalah di posisi penyerang," kata Dollah dihubungi BH Online.


PEMAIN Harimau Malaya, Safiq Rahim (kanan). - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
Ketika muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2014, Disember lalu, Dollah mempertaruhkan empat penyerang dalam skuad Harimau Malaya - Norshahrul Idlan Talaha, Amri Yahyah, Safee Sali dan Abdul Manaf Mamat.

Norshahrul baru meledak satu gol bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan Liga Super, Safee satu gol bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Piala AFC, Manaf satu gol dalam saingan Piala FA ketika Terengganu menewaskan Melaka United 3-1, minggu lalu manakala Amri baru saja kembali beraksi, malam kelmarin selepas pulih daripada kecederaan.

Senarai penjaring terbanyak Liga Super kini dikuasai penyerang import Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dramane Traore dan penyerang import Terengganu, Paulo Rangel yang juga penjaring terbanyak musim lalu, masing-masing sudah meledak lima gol.

Ia diikuti penyerang import Sarawak, Billy Mehmet dengan tiga gol.

Dua gol pula dibarisi awang import, termasuk Mohamadou Sumareh dan Ashfaq Ali (PDRM), Luciano Figueroa (JDT), Andik Vermansah (Selangor), Edward Junior Wilson dan Ndumba Makeche (FELDA United) serta Namkung Woong (Perak).

Hanya tiga anak tempatan berjaya menyelitkan diri dalam senarai penjaring dua gol itu iaitu pemain sayap FELDA United, Ahmad Syamim Yahya, pemain sayap Perak, Nurridzuan Abu Hassan serta pemain tengah kebangsaan, Safiq Rahim yang beraksi untuk JDT.

Ditanya adakah beliau risau dengan situasi semasa itu, Dollah berkata: "Sama ada penyerang itu jaringkan gol atau tidak, saya terpaksa panggil kerana itu saja penyerang yang kita ada. Saya pun tak tahu lagi nak panggil siapa. Saya tak tahu kenapa, mungkin mereka belum mencapai prestasi terbaik."

Namun, Dollah mungkin membuat sedikit kejutan apabila dia menyatakan tertarik dengan kelibat penyerang skuad Liga Perdana, JDT II berusia 21 tahun, Shafiq Shaharuddin.

Anak kepada bekas pemain kebangsaan era 1970-an, Shaharuddin Abdullah itu kini sudah meledak lima gol selepas empat perlawanan, tangga kedua senarai penjaring terbanyak Liga Perdana di belakang penyerang import Negeri Sembilan, Francis Forkey Doe dengan enam gol.

"Yang saya nampak sedikit menyerlah ialah Shafiq. Tapi tak berani nak cakap kerana baru empat perlawanan dan dia beraksi di Liga Perdana. Apa pun belum ada kata putus dan saya akan terus memantau prestasinya," jelas Dollah.

Shafiq baru-baru ini dipanggil menyertai latihan pusat fasa pertama selama empat hari di Wisma FAM, Kelana Jaya untuk persiapan skuad B-23 negara ke Sukan SEA 2015 di Singapura, Jun ini di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.


PRESIDEN FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) menyampaikan hadiah kepada pemain Harimau Malaya pada aksi final kedua Piala Suzuki AFF 2014, Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Khairull Azry Bidin
INFO

Senarai penjaring terbanyak Liga Super selepas empat perlawanan:
5 gol: Dramane Traore (PDRM), Paulo Rangel (Terengganu)
3 gol: Billy Mehmet (Sarawak)
2 gol: Ahmad Syamim Yahya, Edward Junior Wilson, Ndumba Makeche (FELDA United), Luciano Figueroa, Safiq Rahim (JDT), Ashfaq Ali, Mohamadou Sumareh (PDRM), Namkung Woong, Nurridzuan Abu Hassan (Perak), Andik Vermansah (Selangor)

Senarai penjaring terbanyak Liga Perdana selepas empat perlawanan:
6 gol: Francis Forkey Doe (NS Matrix)
5 gol: Shafiq Shaharudin (JDT II)
4 gol: Leandro Velazquez (JDT II)
3 gol: Shahril Ishak (JDT II), Keith Nah (Kedah), El Hadji Diouf (Sabah), Michael Chukwubunna (KL SPA)
Sumber-BERITA HARIAN ONLINE 9 March 2015 

Akram, Che Rashid kekal dalam perancangan Dollah

Oleh Wan Fakhrul Bakar

PUCHONG: Dua pemain muda skuad Liga Perdana Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Akram Mahinan dan Che Rashid Che Halim akan terus kekal dalam perancangan skuad Harimau Malaya selepas pengendali kebangsaan, Dollah Salleh berpuas hati dengan penampilan sulung mereka ketika bertemu Oman, Khamis lalu.

Akram, 22, yang beraksi di posisi tengah bergandingan dengan kapten, Safiq Rahim sepanjang 45 minit separuh masa pertama manakala Che Rashid, 21, dimasukkan pada 30 minit terakhir permainan untuk mengisi posisi pertahanan kanan.

"Untuk perlawanan bertemu Oman, saya hanya dapat mencuba dua pemain muda iaitu Akram dan Che Rashid. Kedua-dua mereka tidak menghampakan saya dan masih boleh diketengahkan lagi.

"Saya percaya, dua pemain ini mungkin akan kekal dalam skuad kebangsaan," kata Dollah ketika ditemui selepas melancarkan buku Teknik Awalan Bola Sepak tulisan Ridzuan Abu Shah di Sekolah Kebangsaan Putra Perdana 2, di sini, pagi tadi.
  
AKSI Akram Mahinan (kanan) yang mengasak pemain Oman, Eid Al-Farsi pada perlawanan persahabatan di Stadium Seeb, Muscat, kelmarin. - Foto AFP
Pada aksi di Stadium Seeb, Muscat yang menyaksikan skuad kebangsaan dibelasah 6-0 oleh pasukan ranking ke-96 dunia itu, Dollah meletakkan hanya dua pemain bukan dari skuad naib juara Piala Suzuki AFF 2014 dalam kesebelasan utamanya iaitu Akram dan Wan Zack Haikal Wan Nor.

Pada separuh masa kedua, Dollah melakukan enam pertukaran dengan memasukkan Khairul Azhan Khalid, Baddrol Bakhtiar, Joseph Kalang Tie, Che Rashid, Afif Amiruddin dan Abdul Manaf Mamat.

Hanya tiga pemain daripada 20 pemain yang dibawa tidak beraksi iaitu Ahmad Hazwan Bakri (Selangor), Ahmad Syamim Yahya (FELDA United) dan R Gopinathan (Pahang).

"Untuk pemilihan pemain bagi kem latihan seterusnya selepas ini, saya masih akan pergi ke negeri-negeri untuk menyaksikan perlawanan Liga Super dan Liga Perdana. Saya masih mahu lagi melihat pemain-pemain yang berpotensi untuk dipanggil," jelas Dollah.

Saingan Liga Super akan bersambung 4 April ini sehingga 2 Mei untuk perlawanan keenam hingga ke-10 sebelum berehat selama sebulan sehingga 2 Jun ini untuk persiapan skuad kebangsaan menghadapi Tottenham pada 27 Mei dan skuad B-23 negara kendalian Datuk Ong Kim Swee menghadapi Sukan SEA.

Namun aksi separuh akhir dan final Piala FA tetap akan berlangsung sepanjang Mei ini.

Sumber-BERITA HARIAN ONLINE Sabtu, 28 March 2015 | 2:47pm

Harimau Malaya gigit jari kena belasah Oman 6-0


PEMAIN Oman, Qasim Said (kanan) mengawal bola sambil cuba dikejar pemain Malaysia, S Kunanlan Subramaniam pada aksi perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Seeb, Muscat, awal pagi ini. - Foto AFP
KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya menggigit jari apabila dibelasah Oman 6-0 dalam siri persahabatan antarabangsa di Stadium Seeb, Muscat, awal pagi ini.

Kekalahan dengan angka jaringan besar kini memaksa Dollah Salleh mencari ilham baharu dengan segera sebelum persiapan ke arah Kelayakan Piala Asia 2019 dan Kelayakan Piala Dunia 2018 pada Jun ini.

Oman tidak dinafikan lebih kemas permainan berbanding Malaysia dan mendahului 2-0 pada babak pertama hasil jaringan Yaqoub Abdul Karim pada minit ke-15 sebelum Abdul Azizi Al Mugbali menggandakan kedudukan pada mint ke-42 hasil sepakan penalti selepas S Kunanlan mengasari Raid Ibrahim Saleh dalam kotak penalti.

Selepas rehat, jentera tuan rumah makin licin dan menambah empat lagi gol menerusi Qasim Said pada minit ke-47, Abdul Azizi Al Mugbali (m-51), Yaqoub, m-67 dan Mohsin Johar (m-88).

Dalam perlawanan persahabatan terdahulu menentang Oman, pasukan negara tewas 0-3 pada September 2010.

Sementara itu, skuad Bawah 23 (B-23) negara mengalami kekalahan kedua pada siri perlawanan persahabatan di Thailand selepas kalah kepada kelab Air Force United FC 2-0 di Stadium Thupatemee, Bangkok.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu, yang seri 1-1 menentang skuad B-23 Korea Utara, Ahad lalu akan melengkapkan siri persahabatan itu menentang Police United pada Isnin ini di Stadium Thammasat.

Sumber-BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 27 March 2015

Isnin, 24 Julai 2017

Ketiadaan Dollah tak jejaskan rentak Pahang



 Oleh SHAHRULANOOR ISHAK
DOLLAH (tengah) digantung selama 18 bulan oleh FAM dan tugas beliau diambil alih oleh Shaharuddin.

KETIADAAN ketua jurulatih, Dollah Salleh yang digantung 18 bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkuatkuasa Jumaat lalu tidak menjejaskan rentak permainan Pahang apabila mudah menundukkan Melaka United 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam kelmarin.
Advertisement

Dollah dikenakan hukuman tersebut selepas didapati me­langgar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 88 statut FAM kerana membuat kenyataan akhbar melibatkan badan induk bola sepak negara itu tanpa kebenaran.

Dollah turut dihukum kerana mengecam urusan pentadbiran FAM melibatkan mutu pengadilan sejurus Pahang tewas 1-2 kepada Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada 1 Julai lalu.

Atas kesalahan itu, Dollah dikenakan penggantungan bagi tempoh pertama selama sembilan bulan berkuat kuasa 21 Julai 2017 hingga 20 April 2018 manakala baki sembilan bulan untuk tempoh kedua bermula 21 April 2018 hingga 20 Januari 2019 pula ditangguhkan.

Tugas melatih skuad Pahang kini diambil alih penolongnya, Ahmad Shaharuddin Rosdi.

Berota mengenai penggantungan Dollah itu ternyata mengejutkan barisan pemain Pahang, namun ia tidak menjejaskan misi mereka memburu tiga mata pada aksi menentang Melaka United.

Menurut Shaharuddin, tekanan yang dialami oleh barisan pemain skuad Tok Gajah itu bagaimanapun berjaya di atasi menerusi kejayaan ke atas Melaka United.

“Pagi tadi (kelmarin), beberapa jam sebelum perlawanan, kami dikejutkan dengan berita tergempar mengenai apa yang terjadi ke atas ketua jurulatih, Dollah.

“Keputusan FAM itu memang tidak dijangka sama sekali, tetapi tekanan itu berjaya diatasi oleh para pemain apabila mereka berjaya meraih tiga mata ke atas Melaka United walaupun corak permainan tidak lancar seperti diinginkan,” kata Shaharuddin.

Shaharuddin berkata demikian pada sidang akhbar selepas tamat aksi Pahang menewaskan Melaka United 2-0 menerusi jaringan penyerang import Argentina, Yamil Romero seawal keempat disusuli gol kedua menerusi Mohamadou Sumareh pada minit ke-52.

Mengulas lanjut berhubung perancangan pasukan Pahang sepanjang ketiadaan Dollah, Shaharuddin memberitahu, mereka akan terus memberikan yang terbaik untuk meraih kemenangan.

“Pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) juga belum memaklumkan sebarang langkah yang akan diambil. Buat masa ini, kami masih belum mengetahui apa tindakan selanjutnya,” tambah Shaharuddin.

Sementara itu, Dollah ketika ditemui enggan mengulas berhubung tindakan penggantungan yang dikenakan FAM ke atasnya.

“Saya tiada komen dan menye­rahkan perkara ini kepada persatuan (PBNP),” ujar Dollah

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0724&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4nlI0Sq00
Hakcipta terpelihara

TMJ "minum kopi" bersama dollah

PERTEMUAN antara Tunku Ismail Sultan Ibrahim (kiri) dan Dollah
PERTEMUAN antara Tunku Ismail Sultan Ibrahim (kiri) dan Dollah Salleh yang dimuat naik Facebook JOHOR Southern Tigers mencuri tumpuan peminat. - JOHOR Southern Tigers
24 Julai 2017 12:54 PM

KUALA LUMPUR 24 Julai - Ketika isu penggantungan Dollah Salleh hangat diperkatakan, pertemuan bekas jurulatih kebangsaan itu dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, malam tadi mencuri tumpuan peminat bola sepak negara.

Facebook rasmi Johor Darul Ta’zim (JDT), JOHOR Southern Tigers menyiarkan gambar pertemuan Tunku Ismail dan Dollah bersama keterangan: “Tunku Mahkota Johor ‘minum kopi’ bersama Dollah Salleh”.

Pertemuan tersebut berlangsung kurang 48 jam selepas Dollah dihukum gantung 18 bulan dan denda RM30,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana mengkritik pengadil selepas pertemuan Pahang dan FELDA United pada 1 Julai lalu.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) mempertahankan keputusan Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu dengan menegaskan Dollah boleh membuat rayuan mengurangkan hukuman yang dikenakan terhadapnya. - UTUSAN ONLINE
SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tmj-8216-minum-kopi-8217-bersama-dollah-1.506786#ixzz4nk9l81gb

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 22 Julai 2017

Digantung 18 bulan

Dollah Salleh langgar Artikel 88
Nor Azan Fitri Ahmad Hidzir
23 Julai 2017 3:00 AM
KUALA LUMPUR 22 Julai - Tindakan mengkritik mutu pengadilan semasa aksi Liga super mengundang padah buat pengendali Pahang, Dollah Salleh apabila dia dikenakan penggantungan 18 bulan selain denda RM30,000 oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Dollah Salleh
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, tindakan yang berkuatkuasa semalam itu dibuat selepas Dollah didapati melanggar Artikel 61 Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 88 Statut FAM.
  
Beliau memberitahu, tindakannya membuat kenyataan di ruangan media berhubung isu melibatkan FAM tanpa kebenaran boleh memberi impak negatif terhadap reputasi FAM, selain mengecam pentadbiran hal ehwal badan induk itu.

"Jawatankuasa memutuskan untuk menggunakan Artikel 35 Kod Tatatertib FAM yang mana defendan dikenakan penggantungan sembilan bulan pertama (dari 21 Julai 2017 hingga 20 April 2018) manakala baki sembilan kedua (21 April 2018 hingga 20 Januari 2019) ditangguh.

"Penangguhan itu tertakluk kepada kelakuan baik defendan tetapi jika kesalahan yang sama berulang dalam tempoh 12 bulan selepas penggantungan pertama, maka hukuman penggantungan sembilan bulan kedua akan dikuatkuasakan serta-merta namun rayuan masih boleh dilakukan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Awal bulan ini, Dollah yang juga bekas pengendali skuad kebangsaan dengan lantang mengkritik pengadilan yang disifatkan berat sebelah ketika pasukannya tewas 1-2 kepada Felda United dalam aksi Liga Super.

Sambil menyuarakan kekecewaannya, Dollah merasakan pengadil yang bertugas dalam perlawanan itu, Mohammad Zamzaidi Katimin tidak tahu mengenai undang-undang perlawanan.

Sementara itu, penyerang Felda United, Zah Rahan Krangar digantung enam perlawanan selain denda RM1,000 kerana didapati bersalah meludah muka pemain Pahang dalam aksi Liga Super pada 1 Julai lalu.

Baljit berkata, pemain itu melanggar Artikel 50.1(e) dibaca bersama dengan Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM.

"Selepas mengguna pakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM, defendan hanya dikenakan penggantungan dua perlawanan iaitu penggantungan automatik ketika bertemu Sarawak (11 Julai) dan menentang Perak (22 Julai).

"Baki empat perlawanan ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik defendan untuk tempoh enam bulan selepas penggantungan kedua dan hanya keputusan penggantungan boleh dirayu," katanya.

Dalam perkembangan lain, dua pemain Piala Presiden PKNS dan PKNP masing-masing digantung dua perlawanan selain denda RM3,000 selepas berkelakuan ganas pada perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan itu pada 3 Julai lalu.

Pemain PKNP, Muhammad Aizzat Maidin Koty berdepan hukuman atas tindakannya sengaja menendang paha pemain PKNS, Amir Hafiz Mohd. Noor.

Amir Hafiz pula dikenakan hukuman sama kerana menumbuk bahu kiri Muhammad Aizat.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/digantung-18-bulan-1.506062#ixzz4nbecNDFQ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 13 Julai 2017

Sukar pintas Johor DT: Dollah

JULAI 2017
 
PEMAIN Pahang Matheus Alves (kanan) mengasak penjaga gol Johor DT, Mohd Izham Tarmizi (tengah).

Kuantan: Jurulatih Pahang Dollah Salleh mengaku peluang Tok Gajah untuk muncul juara Liga Super musim ini sudah tertutup berikutan kekalahan 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim (Johor DT), kelmarin.

Dollah yang juga bekas jurulatih kebangsaan berkata, jurang 12 mata tidak lagi memberi harapan buat Pahang untuk mengucup piala berkenaan musim ini.

Bagaimanapun, beliau percaya Tok Gajah akan terus berusaha untuk menamatkan musim di kedudukan kedua liga.

“Bagi saya, ketinggalan 12 mata menutup peluang kami untuk mengejar (Johor DT) tetapi kami tidak akan putus asa untuk beri saingan dengan menamatkan liga di tempat kedua,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Darul Makmur, malam kelmarin.

Pada perlawanan itu, satu gol pada setiap babak memastikan Johor DT mengukuhkan kedudukan di persada liga ketika Pahang jauh ketinggalan untuk memberikan tekanan.

Kekalahan itu turut meletakkan Pahang di tangga ketiga selepas Kedah menewaskan Melaka United 4-2 untuk berada di kedudukan kedua liga.

Mengulas gol seawal minit pertama, Dollah berkata, jaringan itu tidak menjejaskan tumpuan pemain tetapi skuadnya gagal memberikan tekanan kepada Johor DT.

“Namun, saya tetap gembira dengan komitmen semua pemain yang berusaha untuk kembali mendapatkan prestasi terbaik seperti dipersembahkan sebelum liga berehat,” katanya.

Sementara itu, kapten Saiful Nizam Miswan mengaku kecewa kerana Tok Gajah gagal mencatat kemenangan di laman sendiri.

“Pada masa sama, kami masih lagi bergelut untuk kembali membentuk persefahaman dan berharap prestasi terbaik dapat dipersembahkan seperti dipamerkan pada awal musim,” katanya.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 10:41 AM


Ahad, 9 Julai 2017

Dollah Salleh mampu atasi tekanan



MOHD FAHMI ISMAIL
7 September 2014

Dollah Salleh (dua, kanan) mengendalikan sesi latihan skuad Harimau Malaya di Kelana Jaya, kelmarin. Dollah Salleh (dua, kanan) mengendalikan sesi latihan skuad Harimau Malaya di Kelana Jaya, kelmarin.
WALAUPUN ramai pihak seakan memperkecilkan pemilihan pemain kebangsaan termasuk memanggil kembali kudrat kuda tua, tetapi tidak bagi Azraai Khor Abdullah.

Ia merujuk kepada skuad pimpinan Harimau Malaya dikendalikan Dollah Salleh yang kembali menyenaraikan tiga pemain veteran yang sudah lama disisihkan iaiatu Azizon Kadir, Indra Putra Mahayudin dan Shukor Adan.

Menurut Azraai yang juga bekas jurulatih T-Team dan Harimau Muda, beliau secara peribadi menghormati keputusan dilakukan rakan baiknya itu.

Katanya, apabila dilantik sebagai jurulatih, Dollah tentu memiliki perancangan tersendiri termasuk memanggil muka lama.

“Kita kena hormat keputusannya. Dia pasti lebih arif soal dan permainan pemain tempatan.

“Ada pemain dari Pahang, PDRM termasuk Muslim Ahmad yang dibawa masuk ke dalam kem latihan pusat.

“Pada saya, Dollah lebih tahu kerana pernah melatih pasukan itu dan yakin akan sumbangan mampu diberikan mereka atas padang,” katanya.

Tambah Azraai, sebagai kebaikan bersama, beliau mahu peminat tanah air memberikan dukungan kepada skuad Malaysia yang akan beraksi dalam kejohanan Piala AFF 2014 di Singapura, November depan.

Mengakui masa kian suntuk untuk Dollah membentuk pasukan mantap, Azraai tetap mempercayai 100 peratus bahawa Malaysia mampu melepasi halangan ke final seperti disasarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Kalau ikut, memang tak cukup masa kerana Dollah baharu beberapa bulan menyertai pasukan kebangsaan.

“Apa pun, kita tunggu aksi sebenar nanti,” katanya sedar negara berdepan laluan berliku berdepan Thailand dan Singapura kelak.
Sumber-Sinar Harian online 8.8.14

Sabtu, 8 Julai 2017

Bola Shebby: Bukan semua pengadil ikhlas



 
Serbegeth Singh

‘Laws of the game’ atau undang-undang perlawanan menjadi topik utama bola sepak minggu lalu dan perkara ini amat menarik perhatian. Dua legenda bola sepak Malaysia yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing terbabit dalam isu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Subkhiddin Mohd Salleh serta ketua jurulatih Pahang Dollah Salleh adalah dua individu yang dihormati dengan pencapaian masing-masing dalam arena bola sepak. Selepas kontroversi ketika FELDA United menewaskan Pahang pada aksi Liga Super, timbul persoalan mutu pengadil.

Dollah meluahkan perasaan tidak puas hati serta kecewa dengan persembahan pengadil Mohamed Zamzaidi Katimin. Sebagai jurulatih dan dalam keadaan emosi tinggi, Dollah menyuarakan isi hatinya pada waktu itu. Ini kali pertama Dollah begitu berang dan reaksinya sesuatu yang di luar dugaan kerana selalunya beliau seorang yang penyabar.

Beberapa hari kemudian, Subkhiddin mempersoalkan pula pemahaman ‘Laws of the Game’. Beliau menyatakan pengadil sudah lebih lama belajar undang-undang perlawanan daripada Dollah.

Kenyataan itu boleh dianggap penghinaan terhadap seorang jurulatih serta bekas pemain bola sepak yang dianggap antara yang terbaik pernah dilahirkan Malaysia.

Sebagai pemain, kita dididik dan diajar undang-undang perlawanan dari peringkat awal. Dalam proses pembesaran serta kemajuan dalam bidang bola sepak, kita memahami undang-undang perlawanan sehingga ia menjadi sebahagian daripada kehidupan.

Sebagai pemain, kita bijak mencuba nasib supaya undang-undang perlawanan memberi kelebihan kepada pasukan diwakili.

Sebagai jurulatih, tanggungjawab lebih berat kerana lebih susah untuk mengajar serta mengawal emosi pemain supaya mematuhi undang-undang perlawanan.

Seterusnya, untuk menyatakan pengadil perlawanan antara FELDA menentang Pahang ‘sudah lebih lama belajar’ undang-undang perlawanan ibarat memercik air di dulang. Ada kalanya, menjadi lebih penting untuk memahami undang-undang perlawanan daripada sekadar belajar.

Baru-baru ini, pada final Piala Konfederasi 2017 di Russia, satu insiden berlaku pada minit ke-65 dengan pemain pertahanan Chile menyiku penyerang Jerman Timo Werner. Kekasaran ini pada mulanya tidak dihiraukan, tetapi apabila dipujuk pemain Jerman maka pengadil setuju menonton insiden itu melalui Video Assistant Referee (VAR).

Kita sedia maklum selepas sekian lama FIFA kini bangkit daripada koma dan ingin membawa perubahan moden kepada bola sepak.

Dengan adanya VAR, maka perjalanan perlawanan serta pengadilan boleh membawa keikhlasan dengan keputusan lebih tepat apabila dibantu untuk melihat semula tayangan insiden tertentu.

Seterusnya, selepas melihat bukti yang begitu jelas berlaku kekasaran berulang kali, pengadil Milorad Mazic hanya berani melayangkan kad kuning kepada Gonzalo Jara. Kita sedia maklum pengadil dari Serbia ini sudah lama belajar undang-undang perlawanan dan kini dibantu dengan teknologi video, akhirnya menyedari berlaku kekasaran ke atas pemain Jerman itu.

Yang menyebabkan penonton serta peminat sesebuah pasukan menjadi marah bukannya reaksi atau emosi jurulatih, tetapi tindakan serta keangkuhan pengadil. Setiap jurulatih sudah peka dengan undang-undang perlawanan, tetapi bukan setiap pengadil mentafsirkan serta menguatkuasakan undang-undang perlawanan dengan ikhlas.

‘Laws of the Game’ walaupun sudah dipelajari, namun masih belum difahami pengadil di merata dunia. Diharap pengadil tidak keterlaluan dalam melaksanakan undang-undang itu.

sumberArtikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2017 @ 4:29 AM