Oleh Asrol Awang - Oktober 2, 2020 @ 10:51pm
sukanteam@nstp.com.my
Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh. - Foto NSTP/Muhaizan Yahya
KUANTAN: Semangat juang dan kerjasama mantap yang dipersembahkan Pahang ketika menewaskan Kedah 2-1 minggu lalu, perlu diulangi sekali lagi apabila berdepan Perak di Stadium Darul Makmur, malam esok.
Itu yang diharapkan oleh pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh kepada anak buahnya bagi menafikan Perak membawa pulang mata.
"Saya cuma harap semua pemain dapat beraksi seperti mereka menewaskan Kedah minggu lalu. Walaupun ketinggalan pada satu ketika, mereka bangkit dengan cemerlang dan mengutip tiga mata.
"Pada masa sama, kita berjaya tewaskan Kedah yang berada pada kedudukan lebih baik berbanding Pahang. Berdepan Perak esok, saya harap pencapaian sama dapat dilakukan pemain.
Tiada yang mustahil untuk mencapai misi itu jika segalanya mengikut perancangan," katanya.
Ditanya prestasi semua pemain, Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan gembira kerana masalah kecederaan tidak lagi membelenggu skuad itu.
Justeru, beliau mengharapkan hasratnya untuk menyenaraikan kesebelasan utama apabila berdepan skuad kendalian Mehmet Durakovic itu.
"Setakat ini, semua pemain berada pada prestasi terbaik dan kemungkinan Dickson Nwakaeme yang juga kapten pasukan akan kembali mengetuai jentera serangan. Begitu juga Ivan Carlos yang bakal bergandingan dengan Nwakaeme bagi membolosi gawang Perak," katanya.
Selepas sembilan perlawanan, Pahang menduduki tangga keenam liga manakala Perak di tempat kedua.SUMBER-BH SUKAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan