Khamis, 24 Jun 2021

'Sukar bergantung harap kepada pemain tempatan sahaja'

WARTAWAN SINAR HARIAN | | 23 Jun 2021




Dollah Salleh
BEKAS jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh berpendapat khidmat pemain naturalisasi yang berkualiti masih diperlukan dalam skuad Harimau Malaya untuk memberikan saingan di pentas antarabangsa.
Beliau yang kini membimbing Sri Pahang FC mengakui bahawa semua pihak harus berpijak di bumi nyata di mana pasukan kebangsaan sememangnya memerlukan pemain naturalisasi yang mempunyai kelebihan daripada aspek fizikal selain daripada kemahiran di atas padang.
“Kalau tanya saya, memang benda ini (program naturalisasi) saya yang syorkan untuk kita ambil pemain-pemain naturalisasi ketika saya masih jurulatih kebangsaan suatu ketika dahulu.
“Ini hakikat yang kita semua perlu terima bahawa Malaysia memang perlukan pemain naturalisasi dan salah satu sebab adalah dari segi fizikal kerana apabila bermain di peringkat Asia, ini belum cerita di pentas Eropah lagi, pemain-pemain tempatan kita sahaja belum cukup untuk bersaing.
“Masing-masing ada pendapat sendiri tetapi kalau ikut pengalaman saya, sukarlah kalau kita nak bergantung harap kepada pemain tempatan sahaja untuk ke peringkat tertinggi.
"Jadi kita kena pastikan pemain naturalisasi ini benar-benar yang layak untuk bersama skuad kebangsaan,” kata Dollah yang membimbing Harimau Malaya muncul Naib Juara Piala AFF 2014.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard mengakui kehadiran pemain naturalisasi juga turut membantu perkembangan Liga Malaysia dalam melebarkan lagi pemilihan pemain-pemain berkualiti untuk kebaikan kelab.
Bagi Stanley, jika dilihat daripada sudut positif kepada kelab, beliau merasakan pemain naturalisasi akan menjadikan sesebuah pasukan itu lebih kuat dan saingan Liga Malaysia juga akan lebih berkembang.
“Pada pendapat saya, kita melihat kepada apa kebaikan yang pemain naturalisasi ini boleh bawa kepada kelab, dan secara amnya, pemilihan pemain-pemain juga akan lebih besar malah saingan akan lebih kompetitif.
“Cuma, kita perlu meneliti dengan lebih mendalam terhadap pemain tersebut seperti Paulo Josue, anak dia juga belajar di sini dan dia sendiri dilihat mungkin akan bersara di sini terus, jadi sekiranya dia menjadi pemain naturalisasi, untuk jangka masa panjang, banyak cabang dia boleh pergi.“Untuk itu, saya rasa kita berbalik kepada apa yang pemain naturalisasi itu boleh berikan kepada kita dan saya dapat lihat adanya mereka ini, liga kita akan menjadi lebih elit dan akan lebih banyak membantu dari segi perkembangan sesebuah pasukan itu," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Darul Aman FC, Khamal Idris Ali pula tidak melihat perebutan tempat yang lebih mencabar dalam kesebelasan utama dengan adanya pemain naturalisasi akan menyukarkan peluang kepada pemain tempatan.
Apa yang penting adalah bagaimana seseorang pemain naturalisasi itu mampu membawa aura yang lebih menyerlah kepada pasukan agar dapat menjadi penanda aras kepada pemain tempatan lain terutamanya mereka yang masih muda.
“Bagi saya, kita kena faham dan jelas bagaimana kualiti yang ada pada seseorang pemain naturalisasi ini untuk mereka menjadi satu contoh dan penanda aras yang baik buat pemain tempatan untuk mengikut prestasi mereka.
“Keseimbangan itu juga penting tetapi untuk pemain tempatan, apabila mereka bersaing dengan pemain-pemain yang bagus, saya percaya mereka juga akan menjadi lebih bagus, jadi tiada isu pun mengenai program naturalisasi ini,” katanya.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/145873/BERITA/Sukan/Sukar-bergantung-harap-kepada-pemain-tempatan-sahaja© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf.1

_______________________________________________

1https://www.sinarharian.com.my/article/145873/BERITA/Sukan/Sukar-bergantung-harap-kepada-pemain-tempatan-sahaja

Selasa, 22 Jun 2021

Sukan Bola Sepak | Jurulatih dedah punca Sri Pahang pincang



Selepas berakhir 13 perlawanan yang sukar, dengan perubahan drastik melibatkan pemain import Sri Pahang, Dollah Salleh akhirnya mendedahkan, punca yang menyumbangkan kepincangan pasukannya musim ini Bermula dengan penyakit misteri Menyerang Malek Mat Arif, Sri Pahang kini berbeza dengan pertambahan 3 import yang mampu cetak jaringan iaitu Mannuel Hidalgo, Kenny Athiu, dan Aung Kaung Mann.1

_________________________________

Khamis, 17 Jun 2021

Hak prerogatif Cheng Hoe tentukan pemilihan pemain - Dollah

Bernama

Jun 17, 2021 17:38 MYT



Hak prerogatif Cheng Hoe tentukan pemilihan pemain - Dollah

Dollah berkata, Cheng Hoe mempunyai hak prerogatif untuk menentukan kesebelasan utama pasukan, dalam setiap perlawanan diharungi skuad negara. - Stadium Astro

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Tan Cheng Hoe perlu diberi ruang sepenuhnya menggalas tanggungjawab membimbing skuad Harimau Malaya, terutama dalam aspek pemilihan pemain.

Malah dengan kedudukannya itu, Cheng Hoe mempunyai hak prerogatif untuk menentukan kesebelasan utama pasukan, dalam setiap perlawanan diharungi skuad negara.

Bekas pengendali skuad kebangsaan Dollah Salleh berkata sebagai ketua jurulatih, Cheng Hoe lebih mengenali dan mengetahui tahap keupayaan barisan pemainnya, selepas menghabiskan banyak masa serta tenaga menilai perkembangan prestasi pasukan, dalam sesi latihan.

Beliau turut menyifatkan tiada siapa lebih bertanggungjawab terhadap 'jatuh bangun' prestasi pasukan, selain ketua jurulatih.

"Siapa pemain akan beraksi itu jurulatih yang tentukan, sebab dia hari-hari bersama pemain dan hari-hari memantau perkembangan pemain tersebut. Jangan kita pertikaikan keputusan jurulatih, tidak boleh begitu," katanya ketika dihubungi Bernama.

"Pilihan pemain dibuat jurulatih disebabkan dia dapat kepuasan yang diinginkan daripada pemain itu, berdasarkan dari sudut prestasi individu dalam latihan, tetapi apabila pada perlawanan sebenar dia (pemain) tidak menjadi. Itu lah lumrah bola sepak," kata beliau.

Susulan dua kekalahan kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam dalam saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 baru-baru ini, pelbagai pihak mula mempertikaikan pemilihan 26 pemain, yang menggalas cabaran pasukan negara pada kempen kelayakan itu.

Tumpuan lebih terarah kepada tiga pemain naturalisasi dalam skuad bimbingan Cheng Hoe, yang bukan sahaja disifatkan tidak memberikan impak kepada prestasi pasukan negara, malah disebabkan gagal beraksi cemerlang mereka dianggap tidak memiliki semangat patriotik.

Bagaimanapun, Dollah yang juga bekas bintang skuad kebangsaan era 80-an berkata, tiada istilah pemain tidak mempunyai semangat apabila setiap kali menyarung jersi pasukan negara.

"Itu bukan isunya (semangat), siapa yang tidak semangat bila bermain untuk pasukan negara, cuma nak buat pasukan bermain sebagai sebuah pasukan bukan senang, persiapan pasukan kali ini pun terlalu singkat. Semua pemain ada semangat untuk beraksi, sama ada dia 'perform' atau tidak, itu sahaja," katanya.

Mengulas mengenai kritikan yang diterima penyerang naturalisasi Guilherme De Paula sejak dari pertemuan menentang UAE awal bulan ini, Dollah berpendapat prestasi pemain kelahiran Brazil berusia 34 tahun itu, semakin meningkat dari perlawanan ke perlawanan.

"Dia (De Paula) tak 'perform' dalam dua perlawanan awal, tetapi saya nampak ada banyak peningkatan pada aksi terakhir. Menentang UAE dia banyak berdiri tercegat dalam perlawanan, lawan Vietnam ada nampak sedikit pergerakan dibuat, dan penglibatan dia dalam permainan lebih dilihat masa lawan Thailand.

"Kalau dia (De Paula) tidak mempunyai semangat negara, tengok cara dia meraikan jaringan penalti lawan Vietnam, itu disebabkan dia nak tunjukkan semangat yang dia ada," jelas Dollah.

Selain De Paula, dua lagi pemain naturalisasi negara ialah Liridon Krasniqi dan Mohamadou Sumareh.

Malaysia menamatkan saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di tempat ketiga Kumpulan G, selepas menewaskan Thailand 1-0 pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Al Maktoum, Dubai, awal pagi semalam.

Kedudukan itu membolehkan Malaysia melangkah secara automatik ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023, yang dijadual berlangsung antara Februari dan Mac tahun depan.

-- BERNAMA.1

________________________________________________