Isnin, 29 Mei 2017

Pemain jangan leka - Dollah



ARKIB : 08/05/2005

KUALA LUMPUR - Pemain Selangor diingatkan jangan leka dan alpa berdepan dengan Brunei malam esok kerana sikap itu boleh menjejaskan peluang untuk memintas pendahulu liga MK Land.

Walaupun Brunei sebuah pasukan dengan prestasi tidak menentu tetapi ia boleh menjadi pemusnah jika sikap sambil lewa pemain seperti mana Selangor tewas 1-4 kepada Kedah minggu lalu.

Jurulatihnya, Dollah Salleh mahu pemain membuang mimpi-mimpi ngeri kenangan pahit dipalitkan malu oleh Kedah minggu dan inilah masanya untuk menebus segala kesilapan lepas.

``Selepas kekalahan dengan Kedah dan Selangor menang 5-1 ke atas NTFA, keyakinan pemain sudah pulih dan mula menunjukkan peningkatan.

``Saya lega tetapi pada masa yang sama bimbang dengan masalah di benteng pertahanan,'' ujar Dollah ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, beliau masih mempertahankan benteng yang ada sebelum ini membariskan Ahmad Tarmini Saiban, D. Surendran, Nazrulerwan Makmor dan Aiman Wong untuk menyekat jentera serangan Brunei.

Ujarnya, keupayaan gandingan pertahanan hanya melepaskan satu gol berdepan dengan NTFA sedikit memberi kelegaan menjelang pertemuan malam ini.

``Belum tiba masanya perubahan drastik di benteng perlu dilakukan walaupun saya sudah menemui strategi baru yang akan digunakan pada perlawanan akan datang,'' ujarnya.

Dalam pada itu, Dollah tidak bimbang dengan ketajaman jentera serangan dibarisi oleh Muhammad Khalid Jamlus, Bambang Pamungkas dan Brian Fuentes untuk meledakkan jaringan.

Begitu juga dengan perancang bahagian tengah diketuai oleh K.Sanbagamaran, Nazzab Hidzan, Ellie Aiboy dan Fuentes untuk mencipta peluang menjaringkan gol.

``Saya harap pemain tidak leka berdepan dengan Brunei dan melihat lawan adalah mudah untuk menang.

``Ini sebenarnya yang saya bimbangkan dan ingatan demi ingatan sudah dimaklumkan kepada pemain dan saya harap mereka faham,'' ujarnya.

Berdepan dengan Brunei kata Dollah, beliau mempertaruhkan kesebelasan terbaik tanpa mempedulikan kedudukan lawan dalam kelompok tangga terbawah Liga Perdana Kumpulan A.

Berdasarkan persembahan mantap dengan NTFA, jurulatih itu yakin tiga mata penuh bakal dibawa pulang oleh Selangor bagi merapatkan diri dengan MK Land.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iTab5Pxb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 28 Mei 2017

Selangor yakin kekal kedudukan



 
ARKIB : 22/04/2005
Selangor yakin kekal kedudukan

Oleh AMRAN MULUP
Jurulatih Selangor, Dollah Salleh (tengah) pasti mengharapkan sentuhan Bambang Pamungkas (kanan) dan Elei Aiboy yang baru pulih daripada kecederaan apabila saingan Liga Perdana menyambung aksinya Ahad ini selepas berehat panjang.


KUALA LUMPUR - Selangor memberi amaran akan kebangkitan semula skuad itu untuk terus mempertahankan kedudukan di tangga teratas Liga Perdana Kumpulan A sehingga ke penghujung saingan.

Kealpaan seketika memberi laluan kepada MK Land berada di atas untuk tempoh tidak sampai seminggu pastinya tidak akan berulang lagi.

Tidak banyak pilihan berada di tangan buat pemain skuad Merah Kuning melainkan memahatkan kemenangan apabila kempen Liga Perdana bersambung semula Ahad ini.

Kemenangan yang menjadi buruan dalam baki perlawanan selepas ini amat penting buat Selangor untuk memastikan tempat ke saingan Liga Super musim depan dan mara ke pertandingan Piala Malaysia menjadi kenyataan.

Paling melegakan buat Selangor dengan tempoh rehat hampir sebulan memberi kelegaan apabila dua tonggak utama Brian Fuentes dan Ellie Aiboy telah pulih daripada kecederaan yang dialami.

Jurulatih Selangor, Dollah Salleh melahirkan rasa yakin skuad bimbingannya mampu meneruskan kecemerlangan untuk memahatkan kemenangan dengan baki perlawanan yang perlu diharungi selepas ini.

``Saya lega Fuentes dan Aiboy sudah pulih manakala pemain lain pula sudah mendapat rehat yang cukup selain kesilapan sebelum ini dapat diperbetulkan,'' ujarnya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mengulas mengenai pertemuan dengan TNB Ahad ini, Dollah berkata, beliau yakin kesebelasan utama yang bakal diturunkan ketika membenam lawan 6-1 di Stadium Shah Alam pada 13 Februari lalu mampu menang selesa.

Cuma agak merisaukan Dollah mengenai tiga pemain kebangsaan yang baru pulang daripada menyertai Kejohanan Sukan Perpaduan Islam di Arab Saudi hanya akan menyertai sesi latihan skuad Merah Kuning, petang ini.

Ketiadaan Ahmad Tarmini Saiban, Mohd. Shukor Adan dan Nazrul Ewan sedikit menjejaskan persiapan skuad Merah Kuning yang tewas 1-3 dan seri 2-2 bertemu Perlis sebelum menewaskan Lada di Langkawi 2-0.

``Saya harap kehadiran mereka tidak akan menjejaskan rentak tambah pula menjelang pertemuan dengan TNB di tempat lawan,'' ujarnya.

Buat Dollah, baki perlawanan yang bersambung semula akan dipergunakan untuk mengutip tiga mata berharga bagi menjarakkan diri daripada saingan terdekat seperti MK Land, Kuala Lumpur dan Kedah.

Ketika ini Selangor masih kekal di tangga teratas liga dengan 19 mata, kelebihan dua mata mengatasi MK Land diikuti oleh Kuala Lumpur (16 mata) dan Kedah (16 mata).

Mengenai pertukaran gelanggang Selangor yang akan menggunakan Stadium Petaling Jaya dan bukannya Stadium Shah Alam, Dollah berkata, ia tidak akan menjejaskan rentak Selangor.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iPFpF2lW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 26 Mei 2017

Dollah keresahan



KUALA LUMPUR - Selangor terpaksa melupakan khidmat pemain tengah kebangsaan, Shukor Adan untuk tempoh dua minggu akibat ditimpa kekejangan otot.

Shukor ditimpa kecederaan sewaktu Selangor menewaskan Pahang 4-1 dalam pusingan pertama Piala FA Februari lalu.

Jurulatih Selangor, Dollah Salleh berkata, doktor meminta Shukor supaya berehat.

``Shukor mungkin tidak akan beraksi menentang Kedah, Ahad ini dan di Brunei minggu depan,'' ujarnya di sini, semalam.

Beliau mengakui ketiadaan perancang utama itu menjejaskan rentak skuad Merah Kuning menjelang aksi menentang naib juara Piala Malaysia itu.

Turut berada dalam senarai kecederaan, ialah K. Sanbagamaran dan P. Gunalan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4iAwoWXfI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 25 Mei 2017

Selangor tidak pandang rendah NTFA



ARKIB : 26/02/2005

KUALA LUMPUR - Jurulatih Selangor, Dollah Salleh tidak akan membuat percaturan yang boleh membawa padah apabila berdepan dengan NTFA Pulau Pinang dalam saingan Liga Perdana di Stadium Shah Alam, malam esok.

Menurut beliau, walaupun NTFA tidak setanding saingan lain seperti Kedah, MK Land dan Kuala Lumpur tetapi jika mengambil sikap mudah ia boleh membawa mala petaka buat Selangor.

``Saya tidak memandang rendah setiap lawan sama ada mereka daripada pasukan negeri atau kelab kerana pasukan yang tidak diberikan harapan boleh membuat kejutan.

``Kerana itu berdepan dengan NTFA saya akan tetap mengadunkan kesebelasan terbaik untuk mengukir kemenangan,'' ujarnya di sini, semalam.

Selangor kini menduduki tangga teratas Liga Perdana Kumpulan A selepas memenangi kesemua tiga perlawanan awal untuk mengutip sembilan mata.

Skuad Merah Kuning menewaskan Melaka (4-1), TNB Kelantan (6-1) dan Kuala Lumpur (4-1).

Terbaru skuad yang dibarisi ramai pemain bergelar bintang membenam kehebatan Pahang 4-1 dalam saingan pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, Rabu lalu.

Mengulas lanjut Dollah berkata, beliau akan tetap mempertaruhkan gandingan serangan paling ampuh diterajui oleh Bambang Pamungkas, Muhammad Khalid Jamlus, Brian Fuentes dan Ellie Aiboy.

Ujarnya, kemenangan NTFA menewaskan Sabah 3-1 Rabu lalu membuktikan kemampuan pasukan itu tidak boleh dipandang remeh.

Pertemuan

Khabar kurang gembira buat Dollah sejurus pertemuan dengan Pahang, empat pemain utamanya terhenjut-henjut sewaktu menuju bilik persalinan.

Empat pemain yang kini mengalami kecederaan ialah Mohd. Shukor Adan, K. Sanbagamaran, Aiboy dan D. Surendran.

Menurut Dollah, beliau tidak pasti keadaan kecederaan keempat-empat pemain tersebut.

``Kedudukan mereka hanya akan diketahui pada sesi latihan terakhir esok dan saya akan lihat jika serius, saya tidak akan memperjudikan kecederaan mereka untuk berada dalam kesebelasan utama,'' ujarnya.

Ketika ditanya mengenai kedudukan pemain import keempatnya Badui Farah dari Australia yang masih belum diturunkan Dollah berkata, sukar untuk beliau membuat keputusan.

Ujarnya, ketika ini ketiga-tiga pemain importnya Bambang, Fuentes dan Aiboy telah menunjukkan peningkatan mendadak memastikan Selangor menjaringkan 14 gol setakat ini.

``Situasi sulit buat saya untuk membuat keputusan, Fuentes dan Bambang berterusan menjaringkan gol manakala Aiboy pula adalah perancang membuka ruang mencipta gol.

``Tidak mungkin saya mesti merehatkan salah seorang daripada mereka semata-mata untuk membolehkan Badui beraksi,'' ujarnya.

Beliau mengakui Badui kian resah mengenai peluangnya yang masih samar-samar untuk berada dalam kesebelasan utama.

Ujarnya, masih terlalu awal untuk menentukan kedudukan Badui dengan perjalanan perlawanan masih awal dan ada kemungkinan pemain itu akan diturunkan apabila berdepan dengan Kedah nanti.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4iAE2hU9b
© Utusan Melayu (M) Bhd