Ahad, 3 September 2017

Nejmeh sekat hajat Selangor



ARKIB : 21/09/2006
Oleh AMRAN MULUP
 
Pemain Selangor, P. Gunalan (kanan) berusaha melepasi asakan Ahmad Moghrabi dari AL-Nejmeh pada saingan suku akhir kedua bola sepak Piala AFC di Beirut, kelmarin.Selangor dan Nejmeh seri 0-0. – Reuters.

KUALA LUMPUR – Harapan Selangor untuk melangkah ke separuh akhir berkecai setelah seri 0-0 bertemu kelab dari Lebanon, AL-Nejmeh pada suku akhir kedua Piala AFC di Beirut, kelmarin.

Kegagalan Selangor di Piala AFC melengkapkan prestasi paling buruk gergasi bola sepak Malaysia itu selepas gagal mempertahankan Piala FA dan Piala Malaysia bagi kempen Liga Malaysia musim 2005- 2006.

Jika pihak pengurusan Selangor tidak membuat pengumuman awal menyingkirkan hampir sebahagian besar pemain musim ini, mungkin peluang Merah Kuning untuk melangkah ke separuh akhir Piala AFC cerah.

Keputusan seri itu meranapkan impian Selangor yang bercita-cita tinggi untuk layak ke separuh akhir selepas tersingkir menerusi agregat 1-0.

Nejmeh yang juga naib juara musim lalu itu meraih kemenangan pada suku akhir pertama di Stadium Shah Alam hasil jaringan Al Wasit Mohamad.

Kemenangan kelmarin memastikan mereka layak ke separuh akhir bertemu kelab dari Bahrain, Muharraq.

Selangor seharusnya menyalahkan tindakan penyudah yang tidak menepati sasaran seperti apa yang berlaku pada suku akhir pertama di Stadium Shah Alam pada 12 September lalu.

Bermula pada minit ke-39, Selangor dihampakan apabila jaringan ketua pasukan Muhammad Shukor Adan dibatalkan kerana ofsaid.

Gerakan bermula daripada sepakan kencang Bambang Pamungkas dari luar kotak penalti bola ditampan oleh Shukor Adan dan bola bergolek masuk tetapi malangnya dia berada pada posisi ofsaid.

Pada minit ke-56 peluang terbaik hadir buat Merah Kuning menerusi gerakan cantik Bambang yang melorongkan bola di depan pintu gol lawan, malangnya tidak mendapat tindakan susulan.

Dua belas minit selepas itu, giliran Amri Yahyah hampa apabila bola rembatan kencangnya melewati palang gol.

Disusuli pula pada minit ke-78 apabila rembatan Bambang pula dihalang oleh pemain pertahanan, Bilal Najjarine ketika penjaga gol Nejmeh sudah tertewas.

Jurulatih Selangor Dollah Salleh berkata, penjaga gol Shahrizan Ismail menjadi penyelamat dan jika tidak kerana ketangkasan pemain itu pasti Selangor akan tewas lebih teruk.

‘‘Kedua-dua pasukan bermain baik tetapi kami diselamatkan oleh kecekapan Shahrizan jika tidak Selangor kalah teruk.

‘‘Pemain saya telah menunjukkan permainan yang baik kerana ini adalah perlawanan terakhir dan selepas ini mereka dilepaskan,’’ ujarnya selepas tamat perlawanan itu.

Dollah berkata, pihak pengurusan tidak meletakkan sebarang harapan tinggi buat Selangor di Piala AFC.

Ujarnya, semangat pemain sudah tidak ada lagi sebelum berdepan Nejmeh di suku akhir selepas pihak pengurusan mengumumkan sebahagian daripada mereka tidak dilanjutkan kontrak.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0921&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4rbwOLs5q
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan