Sabtu, 23 September 2017

Dollah terus pertaruhkan gandingan Safee, Akmal



ARKIB : 10/04/2007
Oleh AMRAN MULUP
KUALA LUMPUR – Selangor tetap mempertaruhkan gandingan Akmal Rizal Rakhli dan Mohd. Safee Sali mengemudi jentera serangan menjelang pertemuan Piala Malaysia Kumpulan A menentang Johor Pasir Gudang di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Biarpun gandingan itu serba tidak menjadi sewaktu Selangor menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam saingan Liga Super, Sabtu lepas, namun jurulatih Dollah Salleh tetap percaya mereka mampu memainkan peranan untuk mencipta kemenangan ke atas wakil Johor hujung minggu ini.

Dollah mengakui hakikat betapa tahap kecergasan Akmal Rizal dan Safee masih belum mencapai tahap seratus peratus tetapi kembalinya mereka beraksi sedikit memantapkan skuad Selangor.

‘‘Mereka masih memerlukan banyak perlawanan untuk memperoleh tahap kecergasan ke tahap maksium.

‘‘Biarpun ada ketika aksi mereka tampak tidak bertenaga tetapi kelibat mereka dalam setiap perlawanan menunjukkan peningkatan keupayaan mereka semakin baik.

‘‘Kerana itu saya tetap percaya mempertaruhkan kelibat mereka terutama menentang Johor Pasir Gudang Sabtu ini,’’ ujar Dollah ketika dihubungi semalam.

Sewaktu menang 2-1 ke atas Negeri Sembilan, kelibat Mohd. Amri Yahyah dan Fadzli Saari menjadi penyelamat mencipta jaringan kemenangan mengukuhkan kedudukan Selangor dalam Liga Super.

Selangor kini menduduki tangga kedua Kumpulan A Piala Malaysia dengan memungut 10 mata berkongsi dengan lawannya Johor Pasir Gudang tetapi dibezakan dengan perbezaan jaringan.

Buat Dollah pertemuan dengan wakil Johor itu tidak dianggap mudah sambil menyedari lawannya itu mampu membuat kejutan berdasarkan prestasi semasa pasukan itu.

‘‘Tidak kira lawan pasukan negeri atau berstatus kelab, pemain saya tidak boleh ambil mudah kerana ia boleh mendatangkan padah yang tidak dijangka,’’ ujarnya.

Menruut Dollah, jika pemain dapat mengekalkan rentak permainan seperti mana mereka membenam Negeri Sembilan peluang Selangor untuk mengukuhkan kedudukan tangga teratas Kumpulan A dan sekali gus layak ke suku akhir adalah cerah.

Cuma apa yang meresahkan jurulatih itu dengan kekentalan benteng pertahanan yang tampak kurang ampuh hingga membolehkan penyerang lawan mencipta jaringan.

Ujarnya, beliau sedang merencanakan strategi baru untuk mengukuhkan kemantapan benteng pertahanan agar tidak dibolosi oleh penyerang Johor Pasir Gudang.

‘‘Hanya soal pertahanan merisaukan saya berbanding bahagian serangan dan tengah yang jelas semakin menunjukkan peningkatan,’’ ujarnya.

Dollah berkata, beliau akan menurunkan barisan yang sama sewaktu menentang Negeri Sembilan dalam usaha untuk menyekat lawan membuat kejutan ke atas Selangor.

Lebih melegakan jurulatih itu dengan khabar gembira tidak ada seorang pemain utama ditimpa kecederaan serius.

‘‘Saya amat berharap pemain dapat mempamerkan aksi menarik seperti mana mereka menewaskan Negeri Sembilan.

‘‘Seperkara lagi saya tidak mahu setiap pemain menganggap Johor Pasir Gudang adalah lawan yang lemah,’’ ujarnya lagi.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4tVo1ojKU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan