DOLLAH meraikan kemenangan
skuad Tok Gajah bersama-sama penyokong Pahang ketika merangkul Piala Malaysia
di Stadium Shah Alam pada tahun 2013.
KETUA jurulatih Pahang, Dollah
Salleh menyifatkan masih terlalu awal untuk membuat tekaan berhubung hala tuju
skuad Tok Gajah dalam kancah Liga Malaysia musim ini.
Dollah yang pernah melatih
Pahang pada 2009 hingga 2013 sebelum kembali membimbing pasukan itu bagi
saingan musim ini berkata, kempen Liga Malaysia baru sahaja membuka tirai 21
Januari lalu dan perjalanan untuk kembali menjulang gelaran juara Liga Super
dan Piala Malaysia juga masih panjang.
“Masih terlalu awal dan
perjalanan juga masih panjang,” ujar Dollah yang pernah membimbing skuad PDRM
dalam saingan Liga Premier pada 2014 sebelum dipanggil mengendalikan pasukan
kebangsaan.
Bagaimanapun, Dollah optimis
terhadap prestasi semasa yang dipamerkan pemain-pemainnya ketika ini terutama
selepas menyaksikan skuad Tok Gajah versi 2017 mudah membelasah T-Team 5-0 di
Stadium Darul Makmur, Kuantan minggu lalu.
Ujar beliau, gandingan
pemain-pemain import terutama dua penyerang, Mohammadou Sumareh dan Matheu
Alves Leandro ketika ini dilihat mampu meletakkan semula prestasi Pahang pada
kedudukan sepatutnya pada musim 2017.
“Saya lihat Sumareh dan Alves
mampu melancarkan setiap perancangan yang diharapkan. Kehadiran mereka juga
membangkitkan semangat rakan-rakan sepasukan dan diharap mampu membantu meningkatkan
prestasi pemain-pemain lain.
“Contohnya, Wan Zaharulnizam
Wan Zakaria mampu beraksi dengan lebih baik apabila ada pemain-pemain import
seperti Sumareh dan Alves semasa perlawanan.
“Justeru, untuk kembali menjadi
(pasukan digeruni) seperti dahulu, masih banyak perkara yang perlu diperbaiki
terutamanya dalam memastikan prestasi pemain-pemain berada pada tahap sama
seperti ketika ini.
“Kalau prestasi pemain-pemain
kekal seperti sekarang, saya yakin Pahang boleh kembali seperti dulu,” tambah
beliau.
Selain itu, Dollah turut
membayangkan cabaran lebih sengit menjelang perlawanan-perlawanan seterusnya
dalam pusingan pertama kempen Liga Super kali ini.
Dollah menambah, Pahang
terlebih dahulu harus melepasi halangan tiga pasukan yang disifatkan sebagai terhandal
musim ini iaitu Selangor, Johor Darul Takzim (JDT) dan Kedah pada separuh
pertama kempen liga.
Menurutnya, prestasi Pahang
yang berada di puncak liga dengan kutipan empat mata selepas mencetak enam gol
dan satu bolos termasuk semasa mengikat Perak 1-1 di Ipoh pada 21 Januari lalu
disifatkan sebagai belum cukup kuat untuk menghadapi tiga pasukan handal
tersebut.
“Saya hanya boleh benar-benar
yakin dengan kemampuan Pahang sama ada boleh atau tidak (kembali menjadi juara)
apabila sudah bertemu Selangor, JDT dan Kedah. Selepas itu, baru saya boleh
kata Pahang sudah kembali kuat.
“Saya sentiasa sedar mengenai
perkara itu,” tambah Dollah yang pernah berjaya membawa Pahang kembali beraksi
dalam kancah Liga Super 2013 selepas meraih tempat kedua bagi saingan Liga
Premier 2012.
Presiden Persatuan Bola Sepak
Negeri Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah baru-baru ini turut
menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan Dollah meletakkan semula imej pasukan
itu di tempat sepatutnya.
“Kemampuan Dollah sudah
terbukti sebelum ini (2009 hingga 2013). Saya yakin Dollah akan mampu
membimbing pasukan dengan baik apabila kembali ke Pahang untuk musim ini,” kata
beliau
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0203&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4XbyrP8Ml
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan