Sabtu, 28 Januari 2017

Tok Gajah belum 
tempuh ujian sebenar

ZAMZURINA AHMAD   29 Januari 2017 12:15 AM
 Pemain Pahang, Matheus Alves Leandro (tengah) cuba mengawal bola
Pemain Pahang, Matheus Alves Leandro (tengah) cuba mengawal bola ketika diasak pemain pertahanan T-Team, Abdoulaye Maiga dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam. Pahang menang 5-0. bernama
KUANTAN 28 Jan. - Meskipun menang de­ngan jaringan besar ke atas T-Team malam tadi, pasukan Pahang masih belum boleh mendabik dada kerana ujian sebenar belum mereka tempuhi, kata bekas jurulatih kebangsaan Dollah Salleh.
Dollah, yang kembali me­latih skuad Tok Gajah musim ini, berkata kekuatan sebenar pasukannya belum dapat dipastikan selagi tidak berdepan dengan tiga pasukan hebat iaitu Kedah, Sela­ngor dan Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Selagi belum membuat perhitungan dengan tiga pasukan itu, kekuatan Pahang masih belum teruji dan saya tidak dapat menilai sepenuhnya.

“Pemain-pemain dilihat me­nunjukkan segala yang diharapkan (dalam perlawanan malam tadi) dan pasukan juga nampak mantap.
“Masih terlalu awal untuk mengatakan Pahang sudah mendapat (kesebelasan) yang terbaik. Perjalanan masih jauh dan yang penting pemain-pemain dapat mengekalkan pres­tasi,” katanya kepada pemberita selepas pasukannya membelasah T-Team 5-0 di Stadium Darul Makmur.
Menurut Dollah, ujian sebenar pertama untuk Pahang ialah di Stadium Darul Aman pada 11 Februari ini, diikuti pertemuan dengan JDT (3 Mac) di Larkin sebelum kembali beraksi di Stadium Darul Makmur untuk berdepan Selangor (15 April).
Mengulas prestasi anak buahnya, Dollah berkata beberapa pemain import seperti Mohamadou Sumareh serta Matheu Alves Leandro telah mempamerkan segala yang diharapkannya.
“Pemain-pemain import banyak membantu pasukan terutama di bahagian serangan. Selain itu, pemain tempatan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria juga memainkan peranan dengan baik yang memporak-perandakan T-Team.
“Sebenarnya, telah banyak pertukaran (kesebelasan) pemain dibuat. Semasa menentang Perak (seri 1-1) pun kita masih dalam keadaan terpaksa menukar pemain pada saat akhir.
“Dengan gandingan pemain-pemain terbaik yang ada dalam pasukan sekarang ini, saya harap pemain lain juga dapat menyerlahkan prestasi masing-masing,” jelasnya.
Pahang membuka tirai ja­ringan seawal minit ke-13 menerusi Mohamadou manakala Matheu menjaringkan dua gol (minit 54 dan 73) manakala Heo Jae Won Heo dan Chinedu Ezendu masing-masing me­nyumbat satu gol pada minit ke-64 dan 84.
SUMBER- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tok-gajah-belum-8232-tempuh-ujian-sebenar-1.437549#sthash.c9685dwH.dpuf








Tiada ulasan:

Catat Ulasan