Oleh SHAHRULANOOR ISHAK
BADDROL (tengah) memusnahkan
gawang pasukan Pahang pada minit-minit terakhir separuh masa kedua ketika
mereka menewaskan skuad Tok Gajah 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Darul
Aman, Alior Setar malam kelmarin.
KETUA jurulatih Pahang, Dollah
Salleh mengakui tidak menjangka gawang pasukannya bolos empat kali bolos pada
aksi menentang Kedah pada kempen Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar
malam kelmarin.
Pada perlawanan tersebut Pahang
tewas 4-1, kekalahan yang di luar jangkaan selepas skuad kendalian Dollah itu
tampil dengan rentak konsisten dalam tiga perlawanan awal liga.
Dollah berkata, kekalahan
tersebut berpunca daripada kelewatan mereka menyekat pergerakan dua tonggak
utama Kedah, Baddrol Bakhtiar serta Liridon Krasniqi.
Bekas jurulatih Perlis yang
juga pernah membimbing skuad kebangsaan itu menambah, kelewatan mereka mengawal
pergerakan dua pemain Kedah itu telah mengakibatkan Pahang gagal menguasai
permainan, sekali gus mula hilang rentak terutama pada separuh masa kedua.
“Semua serba tidak menjadi,
pemain (Pahang) hilang fokus dan saya nampak corak permainan mereka sangat
menghampakan. Pemain-pemain juga tidak memberi seperti apa yang saya harapkan.
“Tiga gol Kedah pada separuh
masa kedua bukan sahaja berpunca daripada kelemahan pertahanan (Pahang), tapi
serangan kami juga lemah.
“Kami juga tidak memberi
tumpuan terhadap pergerakan Baddrol dan Liridon. Secara tak langsung, ia
memberi kelebihan kepada Kedah untuk menguasai perlawanan,” ujar Dollah.
Kedah yang mendapat sokongan
padu daripada penyokong setia mereka telah memecah kebuntuan pada minit-minit
terakhir separuh masa pertama menerusi Baddrol.
Kedah terus mempamerkan
penguasaan menerusi dua lagi gol yang disudahkan oleh Ken Ilso Larsen pada
minit ke-66 dan ke-90, diikuti jaringan Muhammad Farhan Roslan pada minit
ke-74.
Pahang pula sekadar mampu
memperoleh gol sagu hati menerusi penyerang import dari Brazil, Mateus Alves
Leandro pada minit ke-89.
Dollah menambah, kecederaan
yang dialami pemain tengah, Kiko Insa juga menyebabkan rentak permainan Pahang
menjadi pincang sehingga mengganggu kelancaran serangan.
“Bahagian tengah (Pahang) tidak
bermain pada tahap terbaik gara-gara kehilangan khidmat Kiko. Ia menyebabkan
pemain-pemain di bahagian serangan tidak dapat menerima hantaran bola dengan
tepat.
“Ia telah membuka ruang kepada
Kedah untuk menguasai bahagian tengah dan seterusnya menguasai perlawanan,”
katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0213&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4YZhQF4mO
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan