Jumaat, 27 Oktober 2017

Selangor gagal sempurna peluang

ARKIB : 28/01/2008
SHAH ALAM – Kemenangan tipis pasukan Selangor ke atas DPMM Brunei dengan jaringan 2-1 masih belum memuaskan hati jurulatihnya, Dollah Salleh, yang menganggap permainan pemainnya serba tidak menjadi lapor FERZALFIE FAUZI.

Menurut Dollah, pasukan Selangor mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi tidak berjaya melakukannya, hanya gol menerusi penyerang kebangsaan Safee Sali pada minit ke-21 dan sepakan penalti Frank Seator pada minit-72 menjadi penawar untuk peminat ‘Red Giants’.

‘‘Permainan pada separuh masa pertama tidak seperti yang saya harapkan, mereka bermula dengan agak lembap tetapi pada separuh masa kedua baru pemain saya menunjukkan kebangkitan,’’ kata Dollah yang ditemui Utusan Malaysia kelmarin.

Jelas Dollah, pemain Selangor mula mempamerkan aksi mantap selepas Frank Seator menjaringkan gol penalti tetapi ia agak terlewat untuk menambah jaringan tatkala pemain DPMM sudah mula memperkemaskan benteng pertahanan mereka.

‘‘Saya sudah menilai corak permainan Selangor pada malam ini dan bagi saya walaupun kita berjaya mengutip tiga mata penuh tetapi corak permainan masih lagi lembap.

‘‘Pergerakan pasukan saya juga mula bertambah baik ketika DPMM terpaksa bermain dengan 10 orang pemain selepas pemain importnya, (Dos Santos) menerima kad kuning kedua pada minit ke-77,’’ katanya.

Tambahnya, seorang lagi pemain import Evans Chisulo tidak dapat diturunkan pada perlawanan tersebut akibat pergantungan, kerana mengutip tiga kad kuning.

‘‘Apa pun saya berterima kasih kepada pemain kerana berjaya menahan asakan pemain DPMM dan menyeru kepada mereka untuk bangkit semula pada perlawanan seterusnya,’’ tegas Dollah.

Selepas ini pasukan Selangor akan berkunjung ke Stadium Petaling Jaya untuk menentang pasukan UPB-MyTeam dan berdasarkan kedudukan Liga Super, Selangor berada di tangga kedua liga dengan mengutip 20 mata kurang lima mata dari pendahulu liga Kedah.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4wiWMywVH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan