Sabtu, 14 Oktober 2017

Dollah pilihan terakhir kemudi skuad kebangsaan



ARKIB : 28/08/2007
PETALING JAYA – Jurulatih Selangor, Dollah Salleh menjadi pilihan terakhir Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menjadi jurulatih kebangsaan bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia menentang Bahrain Oktober ini.

Hasrat awal FAM untuk melamar jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah gagal selepas Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tidak melepaskan jurulatihnya kerana masih mempunyai kontrak.

Memang jadi sasaran awal FAM untuk mendapatkan khidmat Azraai ekoran kejayaan jurulatih itu membawa Kedah menjulang kejuaraan Liga Super dan Piala FA selain mara ke separuh akhir Piala Malaysia berlangsung Sabtu ini.

Tempat jurulatih kebangsaan kosong ekoran keputusan badan induk itu enggan melanjutkan kontrak Norizan Bakar yang berakhir 1 September ini ekoran kegagalan memalukan skuad kebangsaan tersisih di pusingan awal pada pusingan akhir Piala Asia, bulan lalu.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad berkata, selepas KFA tidak melepaskan Azraai untuk mengisi kekosongan itu untuk tempoh dua bulan, hanya Dollah Salleh menjadi pilihan terakhir.

Menurut Redzuan, bukan sahaja gagal mendapat khidmat Azraai malah beberapa jurulatih pasukan yang mara ke Piala Malaysia turut tidak mendapat pelepasan daripada persatuan masing-masing untuk mengemudi skuad kebangsaan pada pusingan kelayakan Piala Dunia itu nanti.

‘‘Pilihan terakhir yang kita ada hanyalah Dollah yang terbaik dan cukup berpengalaman selain mempunyai lesen A. Kita ada beberapa calon daripada pasukan lain yang tidak layak ke Piala Malaysia seperti Zainal Abidin Hassan dan K. Devan tetapi ada beberapa perkara yang tidak dapat diselesaikan.

‘‘Selain itu kita juga ada beberapa senarai pendek jurulatih lain tetapi ada beberapa kriteria yang tidak mereka penuhi,” ujarnya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, semalam.

Redzuan yang memangku jawatan Setiausaha Agung FAM buat sementara waktu selepas Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad enggan melanjutkan kontraknya berakhir pertengahan bulan ini menegaskan akan berbincang dengan Dollah untuk menyelesaikan beberapa masalah berkaitan dengan kontraknya dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Beliau memberitahu akan mengadakan perbincangan terakhir dengan jurulatih itu dan FAS untuk mencapai kata pemutus bagi jawatan yang ditawarkan itu.

Malaysia berdepan laluan paling getir pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2010 apabila diundi berdepan Bahrain yang menduduki ranking keenam Asia mengharungi saingan timbal balik pada 21 dan 28 Oktober ini.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4vUIAr7lw
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan