Khamis, 21 September 2017

Selangor boleh pergi jauh



ARKIB : 26/02/2007
Oleh: AMRAN MULUP
PEMAIN Selangor, Mohd. Razman Roslan berjaya melepasi kawalan pemain pertahanan Perlis, Mohd Redzuan Othman (kanan) yang hampir terjatuh sewaktu aksi bola sepak Kumpulan A, Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, kelmarin. Selangor menang 1-0.

KUALA LUMPUR – Kemenangan 1-0 ke atas pendahulu Liga Super dan penyandang juara Piala Malaysia, Perlis di Stadium Shah Alam kelmarin, memastikan Selangor mengukuhkan kedudukan tangga teratas Kumpulan A Piala Malaysia tetapi ia belum melegakan jurulatih Dollah Salleh.

Sebaliknya, jurulatih itu tidak mahu pemain berasa cukup selesa kerana laluan buat Selangor dalam kempen Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia masih mengharungi perjalanan yang jauh dan kedudukan tangga teratas Kumpulan A Piala Malaysia belum dianggap selamat.

Biar apa pun Dollah melahirkan rasa lega dengan persembahan paling mantap dipamerkan oleh kesebelasan utama Selangor berjaya mengekang pasukan lebih berpengalaman Perlis untuk menang 1-0 hasil jaringan Mohd. Amri Yahyah.

‘‘Ini adalah persembahan paling mantap ditunjukkan oleh pemain berbanding perlawanan sebelum ini.

‘‘Malah saya sendiri terperanjat melihat kesungguhan pemain berjaya mengimbangi Perlis sepanjang tempoh 90 minit babak berlangsung.

‘‘Memang saya sendiri tidak menyangka, barisan muda Selangor dapat menewaskan Perlis 1-0 dan kemenangan ini membuktikan kita sebenarnya boleh melangkah lebih jauh,’’ ujar Dollah ketika dihubungi semalam.

Gol kemenangan Selangor dijaringkan oleh Mohd Amri pada minit ke-55.

Gol itu berpunca daripada hantaran Fadhil Hashim yang di rembat oleh Fadzli Saari terlebih dahulu menyingahi palang gol dan bola lantuhan itu disudahi oleh tolakan mudah Mohd. Amri untuk gol kemenangan Selangor malam tersebut.

Menurut Dollah, kemenangan itu dihadiahkan kepada pengurus, Datuk Satim Diman yang menyambut hari jadi ke-53 kelmarin.

‘‘Saya amat berterima kasih kepada pemain saya kerana mereka membuktikan Selangor tetap hebat dan mampu menewaskan pasukan yang memiliki pemain tempatan dan import berpengalaman seperti Perlis,’’ ujarnya.

Ekoran daripada kemenangan itu katanya, pemain tidak boleh menganggap ia adalah kedudukan yang cukup selesa.

‘‘Perjalanan Selangor masih penuh berliku, reputasi kita sebenarnya tidak menentu. Ada ketika kita bermain baik dan ada ketika bermain sederhana.

‘‘Bagi saya kemenangan ke atas Perlis dapat meningkat semangat juang pemain untuk mengekalkan prestasi ini untuk Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super,’’ ujarnya lagi.

Selangor kini berada di tangga teratas Kumpulan A Piala Malaysia meraih sembilan maksimum daripada tiga perlawanan dengan kelebihan lima mata dipisahkan dengan Johor FC, Perlis dan Johor Pasir Gudang.

Manakala enam mata dengan Telekom Melaka dan kelebihan lapan mata mengatasi pasukan tercorot Kuala Lumpur.

Dollah tidak menolak jika pemain muda Selangor dapat mengekalkan rentak permainan dan semangat juang tinggi ketika menewaskan Perlis, skuad Merah Kuning mampu melangkah lebih jauh.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tKgHeFFX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan