Sabtu, 23 September 2017

Mesti tewaskan Perlis – Dollah



ARKIB : 25/04/2007

KUALA LUMPUR – Selangor hanya memerlukan satu lagi kemenangan daripada tiga baki perlawanan bagi menjamin kemaraan ke suku akhir bola sepak Piala Malaysia sekali pun masih tidak percaya mengalami kekalahan mengejut 1-3 kepada Kuala Lumpur, Sabtu lepas.

Tiga baki pertemuan menunggu Selangor ialah berdepan penyandang juara Perlis di Stadium Utama Sabtu ini, disusuli pertemuan dengan Johor FC di Stadium Shah Alam (5 Mei ini) dan perlawanan terakhir menentang Telekom Melaka (26 Mei ini).

Buat Selangor, mereka tidak mahu menunggu hingga ke perlawanan terakhir sebaliknya cuba untuk meraih kemenangan apabila berdepan tugas paling getir bertemu Perlis di tempat lawan.

Kemenangan ke atas Perlis bakal menjamin tempat Selangor ke suku akhir Piala Malaysia.

Jurulatih Selangor, Dollah Salleh menyedari betapa berdepan Perlis di tempat lawan adalah tugas paling berat menunggu kesebelasan terbaiknya.

‘‘Setakat ini, keputusan kita bermain di Perlis jarang memihak kepada kami dan kalau boleh saya mahu menang Sabtu ini kerana kemenangan ini sudah memastikan kemaraan ke suku akhir,’’ ujarnya ketika dihubungi, semalam.

Selangor yang tewas kepada Kuala Lumpur Sabtu lepas, masih kekal di tangga teratas Kumpulan A dengan 13 mata, dua mata mengatasi Perlis yang berada di tempat kedua, diikuti oleh Johor Pasir Gudang di tangga ketiga dengan 10 mata.

Telekom Melaka pula di tempat keempat (9), diikuti Kuala Lumpur (8) dan Johor FC (8).

Buat Dollah, tanpa pemain pertahanan D. Surendren yang dilayangkan kad merah sewaktu bertemu Kuala Lumpur, kemantapan Selangor jelas tidak pincang.

Sebaliknya, jurulatih itu akan mengadunkan kesebelasan terbaik diterajui oleh Mohd. Safee Sali dan Akmal Rizal Rakhli untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Selangor.

‘‘Saya ada perancangan berdepan Perlis jika tidak menang pun keputusan seri sudah cukup memadai buat Selangor,’’ ujarnya.

Dollah akur akan kehebatan Perlis sejak kebelakangan ini mula bangkit apa lagi sentuhan Zachariah Simukonda dan Philimon Chepita sudah kembali membuktikan ketajaman.

Menang ke atas Perlis di Stadium Shah Alam pada 24 Februari lalu dengan 1-0 dalam saingan Piala Malaysia, namun jurulatih Selangor tetap menganggap skuad Singa Utara ampuh apabila bermain di gelanggang sendiri.

‘‘Saya mengharapkan Akmal Rizal dan Mohd. Safee akan dapat menjanjikan kemenangan ke atas Selangor,’’ ujar Dollah.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0425&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4tY6ktiVM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan