Khamis, 28 September 2017

N. Sembilan melonjak -- Bola sepak Piala Malaysia



ARKIB : 25/10/1998
NEGERI Sembilan bertindak garang menumpaskan juara liga, Pulau Pinang 4-1 pada pusingan kedua Piala Malaysia untuk melonjak ke tangga teratas Kumpulan A di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, semalam.

Zami Mohd. Noor muncul wira tuan rumah apabila menghukum pasukan pelawat menerusi jaringan hatrik pada minit ke-61, 80 dan 87.

Bagaimanapun, permainan hampir mencetuskan pergaduhan apabila kedua-dua pasukan saling bertolakan kerana tidak berpuas hati dengan pengadil, Awaluddin Hassan melayangkan kad kuning kedua kepada pemain pertahanan Pulau Pinang, Yong Woon Seang.

Polis terpaksa campur tangan mententeramkan keadaan apabila pemain-pemain Pulau Pinang cuba bertindak ganas terhadap pengadil dan penjaga garisan kedua, G. Arumugam.

Mereka tidak berpuas hati apabila Yong disalahkan kerana memulakan insiden mengkasari pemain Negeri Sembilan, A. Ganeson. Pulau Pinang ketika itu mendahului 1-0 hasil rembatan Merzagua Abderrazak.

Insiden tersebut turut memaksa jurulatih Pulau Pinang, Moey Kok Hong masuk ke padang bagi membantah keputusan pengadil terhadap Yong.

Permainan yang terhenti kira-kira tiga minit diceriakan kembali dengan sorakan gemuruh penyokong tuan rumah, apabila Ganeson yang turut menerima kad kuning pada insiden tersebut bertindak cemerlang menyumbat gol penyamaan pada minit ke-44.

Pengadil pertandingan dan penjaga garisan terpaksa dikawal rapi oleh Polis selepas babak permainan separuh masa tamat.

Pada babak kedua Negeri Sembilan terus menguasai permainan meskipun PP membuat beberapa pertukaran namun mereka masih gagal menambah jaringan gol.

Kemenangan pada malam ini juga memberi tiga mata kepada Negeri Sembilan untuk mendahului kumpulan A.
NEGERI SEMBILAN: Faizal Zainal, B. Rajnikandh, Ching Hong Aik, Pedro Oliveira, Rosli Omar, Dollah Salleh, Abdul Halim Jantan, Ramli Mohd. Noor, A. Ganesan, Mohd. Raizuwah Idris (Affendy Julaihi), Mohd. Yazid Mohd. Yatim.
PULAU PINANG: Ahmad Sobri Ismail, Yong Woon Seang, Balla Modou Conde, Chee Wan Hoe, Merzaggua Abderazzak, Mohd. Zaidi Mat Ail, Fauzi Soh (Ng Kok Heng), Riyadh A. Atia, S. Nantha Kumar, Moey Kok Hong, G. Shanmugam.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1025&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4P88wM31P © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan