Ahad, 28 Mei 2017

Selangor yakin kekal kedudukan



 
ARKIB : 22/04/2005
Selangor yakin kekal kedudukan

Oleh AMRAN MULUP
Jurulatih Selangor, Dollah Salleh (tengah) pasti mengharapkan sentuhan Bambang Pamungkas (kanan) dan Elei Aiboy yang baru pulih daripada kecederaan apabila saingan Liga Perdana menyambung aksinya Ahad ini selepas berehat panjang.


KUALA LUMPUR - Selangor memberi amaran akan kebangkitan semula skuad itu untuk terus mempertahankan kedudukan di tangga teratas Liga Perdana Kumpulan A sehingga ke penghujung saingan.

Kealpaan seketika memberi laluan kepada MK Land berada di atas untuk tempoh tidak sampai seminggu pastinya tidak akan berulang lagi.

Tidak banyak pilihan berada di tangan buat pemain skuad Merah Kuning melainkan memahatkan kemenangan apabila kempen Liga Perdana bersambung semula Ahad ini.

Kemenangan yang menjadi buruan dalam baki perlawanan selepas ini amat penting buat Selangor untuk memastikan tempat ke saingan Liga Super musim depan dan mara ke pertandingan Piala Malaysia menjadi kenyataan.

Paling melegakan buat Selangor dengan tempoh rehat hampir sebulan memberi kelegaan apabila dua tonggak utama Brian Fuentes dan Ellie Aiboy telah pulih daripada kecederaan yang dialami.

Jurulatih Selangor, Dollah Salleh melahirkan rasa yakin skuad bimbingannya mampu meneruskan kecemerlangan untuk memahatkan kemenangan dengan baki perlawanan yang perlu diharungi selepas ini.

``Saya lega Fuentes dan Aiboy sudah pulih manakala pemain lain pula sudah mendapat rehat yang cukup selain kesilapan sebelum ini dapat diperbetulkan,'' ujarnya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mengulas mengenai pertemuan dengan TNB Ahad ini, Dollah berkata, beliau yakin kesebelasan utama yang bakal diturunkan ketika membenam lawan 6-1 di Stadium Shah Alam pada 13 Februari lalu mampu menang selesa.

Cuma agak merisaukan Dollah mengenai tiga pemain kebangsaan yang baru pulang daripada menyertai Kejohanan Sukan Perpaduan Islam di Arab Saudi hanya akan menyertai sesi latihan skuad Merah Kuning, petang ini.

Ketiadaan Ahmad Tarmini Saiban, Mohd. Shukor Adan dan Nazrul Ewan sedikit menjejaskan persiapan skuad Merah Kuning yang tewas 1-3 dan seri 2-2 bertemu Perlis sebelum menewaskan Lada di Langkawi 2-0.

``Saya harap kehadiran mereka tidak akan menjejaskan rentak tambah pula menjelang pertemuan dengan TNB di tempat lawan,'' ujarnya.

Buat Dollah, baki perlawanan yang bersambung semula akan dipergunakan untuk mengutip tiga mata berharga bagi menjarakkan diri daripada saingan terdekat seperti MK Land, Kuala Lumpur dan Kedah.

Ketika ini Selangor masih kekal di tangga teratas liga dengan 19 mata, kelebihan dua mata mengatasi MK Land diikuti oleh Kuala Lumpur (16 mata) dan Kedah (16 mata).

Mengenai pertukaran gelanggang Selangor yang akan menggunakan Stadium Petaling Jaya dan bukannya Stadium Shah Alam, Dollah berkata, ia tidak akan menjejaskan rentak Selangor.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iPFpF2lW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan