Isnin, 29 Mei 2017

Pemain jangan leka - Dollah



ARKIB : 08/05/2005

KUALA LUMPUR - Pemain Selangor diingatkan jangan leka dan alpa berdepan dengan Brunei malam esok kerana sikap itu boleh menjejaskan peluang untuk memintas pendahulu liga MK Land.

Walaupun Brunei sebuah pasukan dengan prestasi tidak menentu tetapi ia boleh menjadi pemusnah jika sikap sambil lewa pemain seperti mana Selangor tewas 1-4 kepada Kedah minggu lalu.

Jurulatihnya, Dollah Salleh mahu pemain membuang mimpi-mimpi ngeri kenangan pahit dipalitkan malu oleh Kedah minggu dan inilah masanya untuk menebus segala kesilapan lepas.

``Selepas kekalahan dengan Kedah dan Selangor menang 5-1 ke atas NTFA, keyakinan pemain sudah pulih dan mula menunjukkan peningkatan.

``Saya lega tetapi pada masa yang sama bimbang dengan masalah di benteng pertahanan,'' ujar Dollah ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, beliau masih mempertahankan benteng yang ada sebelum ini membariskan Ahmad Tarmini Saiban, D. Surendran, Nazrulerwan Makmor dan Aiman Wong untuk menyekat jentera serangan Brunei.

Ujarnya, keupayaan gandingan pertahanan hanya melepaskan satu gol berdepan dengan NTFA sedikit memberi kelegaan menjelang pertemuan malam ini.

``Belum tiba masanya perubahan drastik di benteng perlu dilakukan walaupun saya sudah menemui strategi baru yang akan digunakan pada perlawanan akan datang,'' ujarnya.

Dalam pada itu, Dollah tidak bimbang dengan ketajaman jentera serangan dibarisi oleh Muhammad Khalid Jamlus, Bambang Pamungkas dan Brian Fuentes untuk meledakkan jaringan.

Begitu juga dengan perancang bahagian tengah diketuai oleh K.Sanbagamaran, Nazzab Hidzan, Ellie Aiboy dan Fuentes untuk mencipta peluang menjaringkan gol.

``Saya harap pemain tidak leka berdepan dengan Brunei dan melihat lawan adalah mudah untuk menang.

``Ini sebenarnya yang saya bimbangkan dan ingatan demi ingatan sudah dimaklumkan kepada pemain dan saya harap mereka faham,'' ujarnya.

Berdepan dengan Brunei kata Dollah, beliau mempertaruhkan kesebelasan terbaik tanpa mempedulikan kedudukan lawan dalam kelompok tangga terbawah Liga Perdana Kumpulan A.

Berdasarkan persembahan mantap dengan NTFA, jurulatih itu yakin tiga mata penuh bakal dibawa pulang oleh Selangor bagi merapatkan diri dengan MK Land.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iTab5Pxb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan