Oleh Asrol Awang
Kuantan: Pengendali Pahang Dollah
Salleh percaya penyerangnya Azamuddin Mohd Akil sempat pulih daripada
kecederaan apabila bertemu PKNS FC di Stadium Shah Alam, malam ini.
Menurut bekas pemain kebangsaan
itu, kecederaan pemain kebangsaan itu tidak serius dan khidmatnya amat ditagih
dalam usaha memastikan impian ke separuh akhir Piala Malaysia menjadi milik Tok
Gajah.
Bagaimanapun, beliau berkata,
jika Azamuddin atau dikenali sebagai Alex tidak dapat beraksi, pemain lain
mampu memikul tugas di bahagian serangan dengan bergandingan bersama penyerang
import, Matias Conti.
"Saya harap Azamuddin pulih
dan boleh beraksi kerana dia sudah menjalani latihan bersama pasukan sejak kelmarin,"
katanya semalam.
Difahamkan, jika Azamuddin tidak
dapat diturunkan malam ini, Dollah menyenaraikan Mohd Fauzi Rozlan bergandingan
dengan Conti di bahagian serangan.
Dalam pada itu, Dollah berkata,
skuadnya sudah bersedia mengharungi suku akhir kedua untuk memastikan
kemenangan berpihak kepada skuad itu.
Menurutnya, kelebihan dimiliki
harus dikekalkan dan bersedia untuk meraih kemenangan bermakna.
“Biarpun PKNS akan berusaha untuk
menang, semua pemain perlu berwaspada bagi mengelak mereka daripada mengambil
kesempatan.
"Kelebihan yang dimiliki
belum lagi menjamin tempat ke separuh akhir dan saya mengharapkan pemain fokus
sepanjang 90 minit,” katanya.
HARIAN METRO ONLINE: 2013/10/04
Tiada ulasan:
Catat Ulasan