Rabu, 9 Ogos 2017 | 5:34pm
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (kiri) memberi kata-kata semangat
kepada sebahagian pemain bola sepak dan futsal negara di Hotel St Regis. - Foto
Luqman Hakim Zubir
FAM ringankan hukuman Dollah
Oleh Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Presiden
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan
hukuman penggantungan 18 bulan ke atas pengendali Pahang, Dollah Salleh akan
dikurangkan kepada lima bulan yang dijangka berakhir pada Disember ini.
Menurutnya, Jawatankuasa Rayuan
badan induk itu yang diketuai peguam berpengalaman sudah membincangkan
permohonan rayuan berkenaan dan mengakui hukuman Dollah berjaya diringankan.
"Semua ini (keputusan) di
bawah kendalian badan berkecuali yang terdiri daripada sekumpulan peguam.
Mungkin, saya rasa Dollah Salleh tidak akan digantung selama setahun setengah
(18 bulan).
"Sebenarnya saya dah tahu
berapa bulan yang Dollah Salleh akan digantung. Beliau akan digantung selama 5
bulan sahaja," katanya pada sesi bual bicara 'Face Off' bersama Presiden
FAM di Johor Bharu, kelmarin.
Tunku Ismail yang juga pemilik
kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (Johor DT) berkata, denda RM30,000 yang
dikenakan ke atas Dollah turut dikurangkan manakala larangan melatih skuad Tok
Gajah juga ditarik semula.
"Beliau akan digantung
hanya 5 bulan sehingga Disember, saya rasa bayaran (denda) dia pun tidak sampai
RM30,000.
"Selain itu, beliau masih
dibenarkan melatih pasukan cuma tidak boleh duduk dengan bench (kawasan
teknikal) sahaja.
"Itulah cara pasukan
perundangan kami ringankan (hukuman)," katanya.
Sebelum ini, FAM menjatuhkan
hukuman berat ke atas bekas pengendali dan pemain skuad Harimau Malaya itu
apabila digantung 18 bulan serta denda RM30,000 kerana mengkritik mutu
pengadilan sejurus berakhirnya aksi Liga Super antara Pahang dan FELDA United
pada 1 Julai lalu.
Keputusan hukuman itu
dikeluarkan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu,
kerana Dollah didapati melanggar Artikel 61 Tatatertib FAM yang dibaca bersama
Artikel 88 Statut FAM.
Pengendali berusia 54 tahun itu
turut dihukum kerana mengecam urusan pentadbiran hal-ehwal FAM tanpa mendapatkan
kebenaran badan induk itu yang boleh memberi impak negatif ke atas nama baik
serta reputasi FAM.
Sumber-Berita Harian online Rabu,
9 Ogos 2017 | 5:34pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan