Khamis, 10 Ogos 2017

Dollah sudah hantar rayuan: FAM



Selasa, 1 Ogos 2017 | 7:10pm

KETUA Jurulatih Pahang, Dollah Salleh. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
Dollah sudah hantar rayuan: FAM
Oleh Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
        
KUALA LUMPUR: Kurang 24 jam sebelum berakhirnya tempoh mengemukakan rayuan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan Dollah Salleh yang digantung 18 bulan kerana mengkritik mutu pengadilan sudah pun menghantar permohonan meringankan hukuman.

Jawatankuasa Tatatertib FAM yang bermesyuarat pada 20 Julai lalu menjatuhkan hukuman gantung serta denda RM30,000 ke atas pengendali Pahang itu kerana mengkritik mutu pengadilan sejurus berakhirnya aksi Liga Super antara Pahang dan FELDA United pada 1 Julai.

Keputusan yang berkuatkuasa serta merta itu diumumkan melalui laman sesawang rasmi FAM pada 21 Julai.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengesahkan sudah menerima surat rayuan daripada bekas ketua jurulatih Harimau Malaya itu berkata, permohonan berkenaan akan diserahkan kepada Jawatankuasa Rayuan FAM.

"Beliau (Dollah) sudah menyerahkan rayuan. Tentunya hukuman beliau sebelum ini akan diputuskan oleh Jawatankuasa Rayuan selepas ini," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai butiran rayuan.

"Selebihnya maaf saya tak boleh nak ulas lanjut kerana saya tidak mahu dikatakan cuba mempengaruhi keputusan Jawatankuasa Rayuan pula.

"Apa yang pasti dan boleh disahkan, memang beliau sudah hantar rayuan kepada FAM," katanya ketika ditemui pada aksi persahabatan kelas 'A' membabitkan pasukan bola sepak wanita negara menentang India di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu, Dollah didapati melanggar Artikel 61 Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 88 Statut FAM.

Pengendali berusia 54 tahun itu turut dihukum kerana mengecam urusan pentadbiran hal-ehwal FAM tanpa mendapatkan kebenaran badan induk itu yang boleh memberi impak negatif ke atas nama baik serta reputasi FAM.

Hukuman berat berkenaan turut mendapat perhatian Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menasihatkan supaya Dollah tampil mengemukakan rayuan meringankan hukuman dengan tempoh 14 hari
Sumber-Berita Harian online Sabtu, 29 Julai 2017 | 8:41pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan