Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
SKUAD Pahang bertekad untuk kembali menjadi pasukan digeruni pada kempen Liga M musim 2017.
PAHANG kini sudah berada pada fasa terakhir untuk membentuk skuad mantap menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) 2017.
Keutamaan adalah untuk memastikan setiap posisi seimbang, terutamanya jentera pertahanan.
Ketua jurulatihnya, Dollah Salleh berkata, beliau mahu pastikan skuad Pahang mantap di semua posisi dalam usaha untuk mengembalikan kegemilangan Tok Gajah pada kancah Liga M seperti mana yang telah dibuktikan dua tahun lalu.
Menurutnya, jika semua posisi seimbang, maka ia akan memudahkan tugas mereka untuk merencanakan taktikal agar Pahang kembali digeruni pada saingan liga tempatan.
Kata Dollah lagi, beliau bertekad untuk memenuhi impian Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) untuk menjulang sekurang-kurangnya satu trofi pada musim 2017 nanti.
Sebagai langkah untuk merealisasikan harapan itu skuad tersebut dikatakan berbelanja agar besar untuk mendapat beberapa pemain import dan tempatan.
Setakat ini, lapan pemain tempatan yang sudah berada dalam perancangan mereka termasuk Christie Jayaseelan, Ashari Shamsuddin, Muslim Ahmad, Jopsep Kalang Tie, Ahmad Nordin Alias, Zubir Azmi, Ahmad Syamim Yahya serta Nurridzuan Abu Hassan.
“Kami masih lagi mencari pemain untuk mengisi kekosongan pada posisi pertahanan dan dua pemain yang diuji dalam aksi persahabatan menentang Kuantan FA baru-baru ini tidak mencapai tahap yang dikehendaki. Pada perlawanan tersebut Pahang tewas 3-4,” jelas Dollah.
Menurutnya, beliau tidak bimbang dengan kekalahan tersebut kerana ia merupakan medan buatnya menilai pemain berkemampuan untuk diserapkan dalam skuad Pahang nanti.
Selain itu katanya, beberapa pemain daripada pasukan lain telah menawarkan diri untuk menyertai Pahang termasuk dua pemain import yang beraksi pada posisi serangan.
“Pemain-pemain ini mungkin akan menjalani sesi ujian bersama Pahang pada 4 dan 5 Januari ini,” jelas Dollah.
Beliau menambah, skuad Tok Gajah juga sedang mencari pemain dari negara Asia sama ada dari Indonesia, Thailand, Myanmar atau negara Asia lain bagi memenuhi kuota Asia.
Mengulas mengenai khabar angin yang menyatakan bekas pemain Pahang iaitu Damion Stewart dan Matias Conti yang berminat kembali ke pangkuan pasukan tersebut, Dollah menjelaskan bahawa perkara berkenaan terpulang kepada pemain itu sendiri.
“Perkara itu saya serahkan kepada pemain itu sendiri tetapi buat masa ini pihak PBNP tidak menerima sebarang permintaan daripada pemain terbabit. Jika betul, mereka perlu melalui sesi ujian dan tiada tempat secara automatik buat mereka dalam pasukan,” jelas Dollah
Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4UiaChIGk Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan