Sabtu, 4 Mac 2017

Dollah akur kehebatan Sabah

ARKIB : 04/10/2003
ADA nada keyakinan pada Dollah Salleh bahawa pasukan bimbingannya, MPPJ Selangor mampu mengatasi Sabah pada perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia malam ini tetapi jurulatih itu tetap menganggap peluang mereka adalah 50-50.

Katanya, bukan mudah untuk mengatasi Sabah kerana skuad itu memiliki barisan pemain berpengalaman dan pernah dua kali bermain dalam perlawanan akhir Piala Malaysia berbanding MPPJ.

Begitupun, bekas penyerang kebangsaan itu seperti tidak mahu memandang kepada rekod dan statistik kerana kegagahan sebenar masing-masing adalah di atas padang.

``Memang mengikut rekod, Sabah masih mengatasi kami. Mereka juga sebuah pasukan yang berpengalaman dengan barisan pemain yang baik.

``Tetapi apa yang dapat saya katakan di sini ialah perlawanan akhir Piala Malaysia sesuatu yang jelas berbeza.

``Cuma kami akan bermain seperti biasa sebagaimana perlawanan peringkat kumpulan, suku akhir dan separuh akhir,'' katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Dalam aksi peringkat kumpulan, MPPJ dan Sabah diletakkan dalam satu kumpulan. Kedua-dua pasukan seri 1-1 di Petaling Jaya tetapi Sabah menang 1-0 di Likas untuk skuad itu muncul juara kumpulan dan MPPJ di tangga kedua.

Dollah berkata, MPPJ turun selaku pasukan underdog berbanding Sabah sebagai pasukan pilihan.

``Tetapi kita hanya akan tahu keputusannya sehingga wisel penamat,'' kata Dollah.

Jurulatih itu menganggap pemain import Keith Gumbs, Robert Gaspar dan K. Sanbagamaran antara pemain paling berbahaya dalam skuad Sabah.

``Saya telah aturkan strategi terbaik untuk mengekang mereka dan saya berharap pemain bermain seperti biasa,'' ujarnya.

Ditanya mengenai suasana perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti, Dollah percaya barisan anak buahnya mampu menyesuaikan diri.

``Kami tidak pernah menganggap kami bermain di tempat lawan. Semua gelanggang bagaikan tempat sendiri dan pemain tiada tekanan bermain di mana-mana.

``Kami ada penyokong sendiri dan kelebihan itulah yang membuat kami mampu mara sehingga ke peringkat ini (akhir),'' katanya

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4aLUgnFSt © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan