Selasa, 13 Oktober 2020

Nik Sharif permata baharu Pahang

Oleh Asrol Awang - Oktober 13, 2020 @ 12:32pm

sukanteam@nstp.com.my



Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim (jersi kuning) ketika bertemu PDRM pada aksi Liga Super - Foto ihsan FB Pahang FA.

KUANTAN: Jurulatih Pahang, Dollah Salleh menyifatkan pemain tengah pasukannya, Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim sebagai permata baharu skuad Tok Gajah.

Katanya, ia selepas prestasi mantap yang dipamerkan pemain kelahiran Kuantan itu pada tiga perlawanan terdahulu.

"Dalam tiga aksi berturut-turut itu, Nik Sharif berjaya menjaringkan tiga gol, masing-masing satu pada setiap perlawanan. Bagi saya, Nik Sharif permata yang mula berputik. Oleh itu, saya harap dia dapat mengekalkan prestasinya terutama pada saingan Piala Malaysia nanti," katanya.

Kelmarin, Nik Sharif menjaringkan gol tunggal Pahang ketika tewas 1-2 kepada Terengganu FC (TFC) manakala dua lagi ketika skuad Tok Gajah menewaskan Kedah 2-1 dan terikat 3-3 berdepan Perak.

Mengulas gandingan Nik Sharif dan Faisal Abdul Halim, Dollah mengakui gembira dengan keserasian dipersembahkan dua pemain muda itu.

"Nik Sharif dan Faisal menunjukkan persefahaman baik dan mampu memberi tekanan kepada pertahanan lawan seperti pada perlawanan menentang TFC. Namun, ketiadaan Faisal akibat kecederaan mengganggu percaturan dalam memperkasakan jentera serangan," katanya.SUMBER BH ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan