Selasa, 13 Oktober 2020

Nik Sharif mahu akhiri Liga Super dengan jaringan

MyMetroArena



Asrol Awang

sukanteam@nstp.com.my

Kuantan: Bukan sahaja mahu membantu Pahang mencatat kemenangan ke atas Terengganu FC Ahad ini, malah pemain tengah, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim mahu muncul selaku penjaring.

Pada dua perlawanan berturut-turut, pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu menjaringkan dua gol, masing-masing satu gol ketika Tok Gajah menewaskan Kedah 2-1 dan seri 3-3 dengan Perak.

Justeru, Nik Sharif yang kini menjadi pilihan selaku pemain utama skuad Pahang mengharapkan dua misi itu menjadi kenyataan terutama pada perlawanan penutup tirai Liga Super musim ini.

"Kalau boleh memang saya mahu menjadi antara penjaring buat pasukan pada perlawanan Ahad ini. Tetapi fokus utama ialah memastikan Pahang mengutip tiga mata pada perlawanan terakhir itu.

"Setakat ini, saya amat berpuas hati dengan prestasi semasa terutama menjaringkan dua gol setakat ini ketika bertemu Kedah dan Perak.

"Saya harap prestasi ini berterusan bukan sahaja pada saingan Liga Super, malah di Piala Malaysia," kata pemain berumur 23 tahun ini.

Nik Sharif berkata, skuad itu akan tampil dengan prestasi lebih mantap selepas sekadar mengutip satu mata ketika seri 3-3 berdepan Perak minggu lalu.

Katanya, segala kelebihan dan kekuatan yang dimiliki TFC akan disekat untuk menafikan tuan rumah itu mengutip tiga mata.

"Bagi saya kekuatan TFC ialah di bahagian tengah yang memerlukan kami lebih kental dan memperkasakan jentera pertahanan di samping jentera serangan juga lebih padu," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 6:28 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan