Dollah Salleh
KUANTAN - Kem Tok Gajah berdepan situasi sukar selepas beberapa pemain utama mereka mengalami kecederaan.
Situasi itu diakui Ketua Jurulatih, Dollah Salleh dalam menyenaraikan kesebelasan utama Pahang apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada suku akhir kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.
Menurutnya setakat ini dua pemain utama iaitu Matthew Davies dan Safuwan Baharudin masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
Selain itu, bekas jurulatih kebangsaan itu turut memberitahu, pemain tengah Mohamadou Sumareh mengalami demam panas manakala penyerang, Norshahrul Idlan Talaha hanya dapat bersama pasukan, esok.
“Setakat ini, apa yang boleh saya katakan adalah keputusan sama ada Davies, Safuwan, Sumareh dan Mat Yo (Norshahrul) dapat beraksi atau tidak hanya diketahui esok (hari ini).
“Saya tetap bawa mereka ke Larkin kecuali Mat Yo yang tidak bersama kerana isterinya keguguran untuk menyenaraikan kesebelasan terbaik bertemu JDT.
“Namun, jika mereka tidak dapat bersama, saya tiada pilihan lain dan mengharapkan pemain yang diberi tanggungjawab dapat melaksanakan tugas masing-masing,” katanya lagi.
Tegasnya, peluang masih lagi ada walaupun skuad itu berdepan situasi sukar namun ia memerlukan komitmen tinggi daripada semua pemain selain menuntut prestasi terbaik dapat diterjemahkan di halaman tuan rumah.
Sumber-SINAR HARIAN ONLINE Jumaat, 20 April 2018 | 11:34am
Tiada ulasan:
Catat Ulasan