SUKAN»Bola
Sabtu, 7 April 2018 | 10:38am
PEMAIN Pahang Mohd Faisal Abdul
Halim bersaing dengan pemain JDT Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham di Stadium
Darul Makmur. FOTO/BERNAMA
Peluang masih terbuka: Dollah
Oleh Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
KUANTAN: Pengendali Pahang,
Dollah Salleh percaya peluang untuk mara ke separuh akhir masih lagi terbuka
selepas pasukannya diikat tanpa jaringan oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) pada
suku akhir pertama Piala FA, malam tadi.
Jadi, bekas jurulatih kebangsaan
itu mahu pemainnya lebih bersedia dengan memantapkan jentera tengah, menjelang
suku akhir kedua ketika mereka bertandang ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos,
Larkin, pada 20 April ini.
"Segalanya serba tidak
menjadi pada perlawanan ini (malam tadi) kerana lebih banyak memberi ruang
kepada lawan, khususnya pada separuh masa pertama.
"Pemain seolah-olah hilang
keyakinan dan gagal mengawal permainan hingga membenarkan pemain tengah yang
diketuai Safiq Rahim bergerak bebas.
"Namun, kita bernasib baik
kerana segala yang dilakukan JDT berjaya disekat kerana hanya dua percubaan
berbahaya dapat dilakukan," katanya.
Mengulas ketumpulan jentera
serangan skuad itu, Dollah mengakui ketiadaan penyerang import dari Liberia,
Francis Forkey Doe gagal memberi impak.
Ini kerana, katanya Forkey Doe
memiliki kelebihan mengawal bola di depan gawang dan ketiadannya memberi kesan
kepada corak permainan skuad Tok Gajah.
"Pada masa sama, Patrick
Cruz juga tidak dapat bermain dengan baik kerana kecederaan paha kiri yang
dialami masih belum pulih.
"Cruz juga dilihat kecewa
tetapi saya yakinkan kepadanya masih ada masa untuk pulih sepenuhnya apabila
bertemu pada suku akhir kedua nanti.
"Apa yang perlu dilakukan
adalah meningkatkan lagi kualiti permainan terutama mengukuhkan jentera tengah,
kerana Nor Azam Azih yang menjadi nadi pasukan gagal beraksi dengan baik.
"Azam juga banyak dibantu
Safuwan Baharudin untuk memastikan lawan tidak menjaringkan gol," katanya.
Sumber-BERITA HARIAN ONLINE Sabtu, 7 April 2018 | 10:38am
Tiada ulasan:
Catat Ulasan