Selasa, 4 Mei 2021

Tok Gajah senarai tiga import baharu layan Selangor

Oleh Asrol Awang - Mei 4, 2021 @ 4:51pm

bhsukan@bh.com.my



Aung Kaung Mann mungkin diturunkan menentang Selangor.

KUANTAN: Aksi perlawanan Sri Pahang FC berdepan Selangor FC di Stadium Darul Makmur malam esok, kemungkinan menyaksikan tiga import baharu disenaraikan bagi memperkuatkan skuad Tok Gajah.

Ketua jurulatih pasukan, Dollah Salleh berkata, tiga pemain berkenaan ialah Aung Kaung Mann dari Myanmar, Manuel Hildago (Argentina) dan Abubakar Yakubu (Ghana). Bagaimanapun, katanya, keputusan sama ada ketiga-tiga import berkenaan akan beraksi dalam pasukan berdepan Selangor akan diketahui, esok.

"Jika dilihat kepada komitmen pada sesi latihan semalam, tiga pemain ini mempamerkan komitmen tinggi tetapi faktor kecergasan mereka belum mencapai tahap yang diinginkan.

"Ini kerana mereka baru tiba dan menamatkan tempoh kuarantin tetapi saya percaya jika dapat disenaraikan esok, mereka mampu membantu pasukan," katanya.

Ditanya peluang untuk menyekat Selangor daripada membawa pulang mata, Dollah mengharapkan semua pemain mengekalkan momentum kemenangan ke atas UiTM FC, Sabtu lalu.

Katanya, kemenangan itu memberi suntikan semangat dan pemain perlu mengekalkan prestasi terbaik itu untuk mencatat kemenangan pada pusingan kedua liga.

"Saya harap semua pemain dapat beraksi dengan baik kerana pada perlawanan pusingan pertama kami tewas 1-3.

"Kembalinya Nor Azam Azih dan Ashar Al Aafiz Abdullah yang menamatkan penggantungan satu perlawanan juga akan memperkasakan jentera tengah dan pertahanan," katanya.SUMBER BH ONLINE.1

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/05/813677/tok-gajah-senarai-tiga-import-baharu-layan-selangor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan