Asrol Awang
am@hmetro.com.my
Barisan pemain Sri Pahang FC ketika aksi berdepan Penang FC. FOTO Sri Pahang FC
Kuantan: Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh mahu menamatkan pusingan pertama Liga Super berdepan UiTM FC berakhir dengan kemenangan di Stadium Darul Makmur, malam esok.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata, dengan kemenangan, ia sudah pasti menyuntik semangat dan fokus pasukan itu untuk mencatat keputusan lebih baik pada pusingan kedua nanti.
"Saya akui UiTM juga mahukan kemenangan tetapi misi utama pasukan untuk memastikan tiga mata menjadi milik Sri Pahang malam esok.
"Saya mahu pemain dapat melakukannya sekali gus menyaksikan Sri Pahang kembali mengutip mata," katanya.
Ditanya barisan pemain yang disenaraikan esok, beliau berkata, dua pemain utama iaitu Nor Azam Azih dan Ashar Al Aafiz Abdullah tidak dapat beraksi.
Katanya, ini kerana pemain tengah dan pertahanan itu digantung satu perlawanan selepas mengutip tiga kad kuning.
"Pada masa sama, kedudukan pertahanan import, Herold Goulon juga belum pasti diturunkan kerana masih belum pulih daripada kecederaan.
"Namun, saya harap pemain yang diberi tanggungjawab dapat beraksi dengan lebih baik dalam usaha membantu pasukan kembali mencatat kemenangan," katanya.
Kali terakhir Sri Pahang mencatat kemenangan ialah ketika menewaskan Sabah 2-1 pada 16 Mac lalu.
Dengan hanya mencatat satu kemenangan dan dua kali seri, Sri Pahang sekadar mengutip lima mata dan berada di kedudukan kedua tercorot liga.
_______________________________________________
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/04/700849/dollah-buru-tiga-mata (diakses pada 1 Mei 2021)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan