Asrol Awang
KETUA jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh. FOTO Asrol Awang
Kuantan: Di sebalik kekalahan 0-2 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Makmur malam tadi, Dollah Salleh tetap berbangga dengan semangat juang yang dipamerkan pemainnya.
Ketua jurulatih itu berkata, biarpun ketinggalan dan beraksi dengan 10 pemain, pasukan itu memberi tentangan terutama pada babak kedua perlawanan.
"Saya bangga dengan semangat yang dipersembahkan terutama pemain muda yang bermain baik untuk memberi tentangan kepada pasukan pelawat.
"Pemain memberi saingan terutama pada babak kedua perlawanan sebelum pasukan terpaksa beraksi 10 pemain selepas pemain pertahanan, Mohamad Ezanie Mat Salleh dilayangkan kad merah pada minit ke-69.
"Apabila kekurangan seorang pemain, ia ternyata memberi kesan terhadap prestasi pasukan walaupun pemain berusaha untuk menghalang JDT daripada mencatat kemenangan," katanya.
Mengulas persembahan keseluruhan Sri Pahang, Dollah berkata, pasukan itu hampir menjaringkan gol pada minit terakhir perlawanan dalam usaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan tidak menyebelahi Sri Pahang.
Katanya, apabila semua pemain memikirkan mencari gol penyamaan, JDT yang memiliki pengalaman luas berjaya menjaringkan gol kedua pada minit-minit akhir perlawanan.
"Bagaimanapun, saya percaya dengan persembahan yang diberikan terutama barisan pemain muda, keputusan lebih baik akan dicatat pada perlawanan akan datang," kata bekas pemain kebangsaan itu.
Selepas mengharungi sembilan perlawanan Liga Super, Sri Pahang kekal di kedudukan kedua tercorot liga dengan mengutip lima mata.1
Disiarkan pada: April 17, 2021 @ 12:31pm
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/04/695819/dollah-bangga-biarpun-tewas (Diakses pada 18 April 2021)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan