Isnin, 25 Januari 2021

Gandingan mantap Dooley, Dollah

MyMetroArena



Asrol Awang

sukanteam@nstp.com.my

Kuantan: Gandingan dua legenda, Thomas Dooley dan Dollah Salleh diharap memacu Sri Pahang FC pada prestasi terbaik bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pengurusan Sri Pahang melantik Dooley selaku ketua jurulatih manakala Dollah pula sebagai pengurus pasukan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, gandingan dua legenda itu diyakini memberi sentuhan terbaik buat pasukan berkenaan.

Katanya, pengalaman yang dimiliki Dooley dan Dollah akan meletakkan Sri Pahang pada kedudukan terbaik terutama sepanjang menghadapi saingan Liga Super.

"Mereka memiliki pengalaman yang luas di pentas antarabangsa dan selaku bekas pemain, mereka adalah legenda dan mampu memberi impak buat Sri Pahang musim ini.

"Saya percaya gabungan dua lagenda ini juga akan menyaksikan barisan pemain termasuk import sentiasa berada pada prestasi terbaik," katanya.

Berdasarkan pengalaman, Dooley pernah bermain dengan beberapa kelab terkemuka di Jerman iaitu Bayer Leverkusen dan Schalke 04.

Jurulatih import berumur 60 tahun itu pernah dilantik sebagai pembantu jurulatih skuad kebangsaan Amerika Syarikat pada 2011 hingga 2012 dan Filipina (2014-2018).

Manakala, pengalaman luas Dollah, 58 selaku bekas jurulatih kebangsaan dan melatih beberapa pasukan akan meletakkan Sri Pahang pada kedudukan terbaik.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 11:07 PM


Isnin, 18 Januari 2021

Sukar tapi tak mustahil benam Oman - Dollah

Oleh Wan Fakhrul Bakar - Mac 22, 2015 @ 11:35am

wanfakhrul@bh.com.my



Jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh (kanan) bersama skuad kebangsaan mengadakan sesi latihan di Wisma FAM. - Foto NSTP

KELANA JAYA: Skuad kebangsaan, Harimau Malaya turun menjalani latihan terakhir di Wisma FAM, di sini, pagi tadi sebelum berlepas ke Muscat, Oman, jam 3 petang esok bagi menghadapi aksi persahabatan antarabangsa bertemu negara ranking ke-96 dunia itu, Khamis ini.

Jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh, berkata dia akan memberi peluang kepada pemain muda bagi menilai kemampuan mereka sama ada layak beraksi di peringkat antarabangsa atau sebaliknya menjelang kempen Kelayakan Piala Asia 2019 dan Kelayakan Piala Dunia 2018 pada Jun ini.

"Memang agak sukar berdepan Oman yang kini di ranking ke-96 dunia berbanding kita di ranking ke-153. Tapi tak mustahil untuk kita membenam Oman.

"Apa yang penting, saya amat mengidamkan supaya pemain-pemain muda yang dipanggil kali ini dapat menyesuaikan diri dengan pasukan serta aksi di peringkat tertinggi seperti ini.

Harimau Malaya mampu bangkit jika tewaskan Bangladesh Sabtu ini

"Gunakan peluang bertemu Oman ini untuk mereka membuktikan sesuatu," kata Dollah ketika ditemui selepas sesi latihan di Wisma FAM.

Sesi latihan terakhir itu disertai 18 pelatih kebangsaan dan dibantu empat pemain dari skuad Harimau Muda B yang tidak dibawa jurulatih Razip Ismail untuk aksi persahabatan skuad B-22 negara di Yangon, Myanmar.

Penjaga gol Pahang, Khairul Azhan Khalid dan pemain sayap skuad Tok Gajah itu, R Gopinathan hanya akan melapor diri tengah hari ini selepas terbabit dengan aksi pusingan ketiga Piala FA bertemu MISC-MIFA di Kuantan, malam tadi yang berkesudahan Pahang mara ke suku akhir menerusi kemenangan 2-1.

Antara muka baharu diserap Dollah untuk kem latihan pusat kali ini termasuklah dua pemain skuad Liga Perdana Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Akram Mahinan, 22, dan Che Rashid Che Halim, 21, selain dua pemain yang kembali dipanggil, Ahmad Hazwan Bakri, 24, (Selangor) dan Wan Zack Haikal Wan Nor, 24, (Kelantan) serta pemain sayap FELDA United, Ahmad Syamim Yahya, 25, yang pertama kali dipanggil.

Kali terakhir skuad Harimau Malaya bertemu Oman ialah pada aksi persahabatan antarabangsa di Doha, Qatar pada September 2010 yang menyaksikan skuad kendalian Datuk K Rajagobal ketika itu tewas 3-0.SUMBER-BH ONLINE