Isnin, 18 Januari 2021

Sukar tapi tak mustahil benam Oman - Dollah

Oleh Wan Fakhrul Bakar - Mac 22, 2015 @ 11:35am

wanfakhrul@bh.com.my



Jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh (kanan) bersama skuad kebangsaan mengadakan sesi latihan di Wisma FAM. - Foto NSTP

KELANA JAYA: Skuad kebangsaan, Harimau Malaya turun menjalani latihan terakhir di Wisma FAM, di sini, pagi tadi sebelum berlepas ke Muscat, Oman, jam 3 petang esok bagi menghadapi aksi persahabatan antarabangsa bertemu negara ranking ke-96 dunia itu, Khamis ini.

Jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh, berkata dia akan memberi peluang kepada pemain muda bagi menilai kemampuan mereka sama ada layak beraksi di peringkat antarabangsa atau sebaliknya menjelang kempen Kelayakan Piala Asia 2019 dan Kelayakan Piala Dunia 2018 pada Jun ini.

"Memang agak sukar berdepan Oman yang kini di ranking ke-96 dunia berbanding kita di ranking ke-153. Tapi tak mustahil untuk kita membenam Oman.

"Apa yang penting, saya amat mengidamkan supaya pemain-pemain muda yang dipanggil kali ini dapat menyesuaikan diri dengan pasukan serta aksi di peringkat tertinggi seperti ini.

Harimau Malaya mampu bangkit jika tewaskan Bangladesh Sabtu ini

"Gunakan peluang bertemu Oman ini untuk mereka membuktikan sesuatu," kata Dollah ketika ditemui selepas sesi latihan di Wisma FAM.

Sesi latihan terakhir itu disertai 18 pelatih kebangsaan dan dibantu empat pemain dari skuad Harimau Muda B yang tidak dibawa jurulatih Razip Ismail untuk aksi persahabatan skuad B-22 negara di Yangon, Myanmar.

Penjaga gol Pahang, Khairul Azhan Khalid dan pemain sayap skuad Tok Gajah itu, R Gopinathan hanya akan melapor diri tengah hari ini selepas terbabit dengan aksi pusingan ketiga Piala FA bertemu MISC-MIFA di Kuantan, malam tadi yang berkesudahan Pahang mara ke suku akhir menerusi kemenangan 2-1.

Antara muka baharu diserap Dollah untuk kem latihan pusat kali ini termasuklah dua pemain skuad Liga Perdana Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Akram Mahinan, 22, dan Che Rashid Che Halim, 21, selain dua pemain yang kembali dipanggil, Ahmad Hazwan Bakri, 24, (Selangor) dan Wan Zack Haikal Wan Nor, 24, (Kelantan) serta pemain sayap FELDA United, Ahmad Syamim Yahya, 25, yang pertama kali dipanggil.

Kali terakhir skuad Harimau Malaya bertemu Oman ialah pada aksi persahabatan antarabangsa di Doha, Qatar pada September 2010 yang menyaksikan skuad kendalian Datuk K Rajagobal ketika itu tewas 3-0.SUMBER-BH ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan