MyMetroArena
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
KUANTAN: Pengendali Pahang,
Dollah Salleh tidak mahu anak buahnya selesa selepas mengutip enam mata
daripada dua perlawanan Piala Malaysia setakat ini.
Sebaliknya, beliau mengharapkan
aksi konsisten terus dipersembahkan skuad Tok Gajah dalam baki empat perlawanan
selepas ini.
“Enam mata bukan bermakna kami
sudah boleh bergembira kerana perjalanan masih jauh untuk mengisi tempat ke
suku akhir. Oleh itu, fokus utama ialah untuk mengutip mata kesembilan apabila
bertemu Sabah di Stadium Likas, pada 17 Ogos ini,” katanya.
Mengulas kemenangan 3-0 ke atas
juara bertahan, Perak kelmarin, Dollah memuji disiplin ditunjukkan anak buahnya
yang berjaya mempertahankan gawang daripada dibolosi lawan.
“Kemenangan ini juga
menghilangkan tekanan dihadapi apabila bertemu Perak yang juga juara bertahan.
Oleh itu, pujian harus diberikan kepada pemain yang berjaya memastikan tiga
mata menjadi milik pasukan,” katanya.
Pada perlawanan itu, tiga gol
Pahang dijaringkan Herold Goulon pada minit ke-40, Saddil Ramdani (m-67) dan
Lazarus Kaimbi (m-81).
Sementara itu, pengendali Perak,
Mehmet Durakovic tetap tenang biarpun skuadnya tewas di tangan Pahang.
GOULON (kiri) menjaringkan satu
gol pada perlawanan menentang TFC.
Beliau berkata, kekalahan itu
tidak akan menyekat misi The Bos Gaurus untuk mengisi slot suku akhir dengan
berbaki empat perlawanan.
“Saya percaya kami akan kembali
mencatat kemenangan pada perlawanan ketiga bertemu Pulau Pinang biarpun gagal
mencuri mata di Kuantan. Apa yang perlu dilakukan pemain ialah bangkit untuk
mengutip tiga mata selepas ini,” katanya.
Mengulas kekalahan di Pahang,
Durakovic berkata, jaringan pertama tuan rumah menyentap semangat anak buahnya.
Katanya, tiga gol yang dilepaskan
itu berpunca daripada kesilapan sendiri ketika pasukan mahu mengukuhkan
kedudukan dalam kumpulan.
“Tapi, saya akui Pahang bermain
dengan baik dan serangan balas yang mereka lakukan menghasilkan gol. Kami cuba
bangkit pada babak kedua tetapi gagal sebaliknya Pahang menambah dua lagi gol,”
katanya.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 5:40 AM