Sabtu, 19 Januari 2019 | 12:43pm
Jurulatih Pahang FA, Dolah Salleh bersama pemain Import Pahang, Dickson
Nwakaeme ketika menjalani sesi latihan untuk perlawanan pembukaan bagi
menghadapi saingan Liga Super 2019 di Padang Taman Gelora, Kuantan. - Foto Muhd
Asyraf Sawal
Dollah gembira komitmen Nwakaeme
Oleh Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
KUANTAN: Faktor usia bukan ukuran sebaik skuad Pahang membuat keputusan
menerima kembali Dickson Nwakaeme bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga
M) musim ini.
Pengalaman luas penyerang Nigeria itu ketika bersama Tok Gajah pada 2014
dan 2015 serta menyarung jersi kelab Perancis, Angres SCO pada 2016 dan 2017
diyakini dapat membantu meraih kejuaraan buat Pahang.
Pencapaian terbaik pemain berumur 33 tahun itu apabila penampilan sulungnya
pada musim 2014 membantu mereka menjulang tiga trofi iaitu Piala Malaysia,
Piala FA dan Piala Sumbangsih.
Bagi pengendali Pahang, Dollah Salleh, beliau berpuas hati dengan kehadiran
Nwakaeme yang diyakini memberi kekuatan buat skuad Tok Gajah terutama menambah
lagi ketajaman di bahagian serangan.
"Apa yang dapat saya lihat pada sesi latihan pertama, Nwakaeme tidak
menghadapi masalah bersama rakan sepasukan dan tiada perlu dikhuatirkan.
"Saya juga percaya dia dapat menyesuaikan diri untuk memastikan Tok
Gajah bersedia mengharungi Liga M yang akan memulakan saingan tidak lama lagi.
"Kehadirannya membantu menguatkan bahagian serangan kerana pada aksi
pramusim di Thailand baru-baru ini, kami tidak menurunkan penyerang,"
katanya.
Dengan pengesahan Nwakaeme yang digelar 'Orang Besi', Pahang sudah memiliki
empat pemain import termasuk Saddil Ramdani dari Indonesia, Herold Goulon
(Perancis) dan Safuwan Baharudin (Singapura).
Ditanya lima kuota import, Dollah mengesahkan seorang pemain yang beraksi
di posisi serangan akan bersama skuad itu selepas baru tiba di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
"Dengan kehadiran seorang lagi pemain import, saya percaya skuad
Pahang akan lengkap sepenuhnya minggu depan.
"Kita percaya musim ini skuad Tok Gajah akan mempamerkan prestasi
lebih baik untuk meraih kejuaraan," katanya.
Musim lalu, skuad Tok Gajah menjulang Piala FA dan menduduki tangga keempat
Liga Super manakala terkandas di suku akhir Piala Malaysia.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Sabtu, 19 Januari 2019 | 12:43pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan