SHAH ALAM Kemenangan tipis
pasukan Selangor ke atas DPMM Brunei dengan jaringan 2-1 masih belum memuaskan
hati jurulatihnya, Dollah Salleh, yang menganggap permainan pemainnya serba
tidak menjadi lapor FERZALFIE FAUZI.
Menurut Dollah, pasukan
Selangor mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi tidak berjaya
melakukannya, hanya gol menerusi penyerang kebangsaan Safee Sali pada minit
ke-21 dan sepakan penalti Frank Seator pada minit-72 menjadi penawar untuk
peminat Red Giants.
Permainan pada separuh masa
pertama tidak seperti yang saya harapkan, mereka bermula dengan agak lembap
tetapi pada separuh masa kedua baru pemain saya menunjukkan kebangkitan, kata
Dollah yang ditemui Utusan Malaysia kelmarin.
Jelas Dollah, pemain Selangor
mula mempamerkan aksi mantap selepas Frank Seator menjaringkan gol penalti
tetapi ia agak terlewat untuk menambah jaringan tatkala pemain DPMM sudah mula
memperkemaskan benteng pertahanan mereka.
Saya sudah menilai corak
permainan Selangor pada malam ini dan bagi saya walaupun kita berjaya mengutip
tiga mata penuh tetapi corak permainan masih lagi lembap.
Pergerakan pasukan saya juga
mula bertambah baik ketika DPMM terpaksa bermain dengan 10 orang pemain selepas
pemain importnya, (Dos Santos) menerima kad kuning kedua pada minit ke-77,
katanya.
Tambahnya, seorang lagi pemain
import Evans Chisulo tidak dapat diturunkan pada perlawanan tersebut akibat
pergantungan, kerana mengutip tiga kad kuning.
Apa pun saya berterima kasih
kepada pemain kerana berjaya menahan asakan pemain DPMM dan menyeru kepada
mereka untuk bangkit semula pada perlawanan seterusnya, tegas Dollah.
Selepas ini pasukan Selangor
akan berkunjung ke Stadium Petaling Jaya untuk menentang pasukan UPB-MyTeam dan
berdasarkan kedudukan Liga Super, Selangor berada di tangga kedua liga dengan
mengutip 20 mata kurang lima mata dari pendahulu liga Kedah.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4wiWMywVH
© Utusan Melayu (M) Bhd