Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
Biarpun hanya membawa pulang
satu mata, ketua jurulatih Selangor, Dollah Salleh (gambar) tetap gembira dan
berpuas hati dengan persembahan anak buahnya pada perlawanan kesembilan saingan
bola sepak Liga Super musim ini.
“Keputusan perlawanan saja
sebenarnya yang tidak memihak kepada kita untuk mencuri tiga mata penuh. Kita
sedia maklum, Terengganu memang kebal di gelanggang sendiri.
“Tetapi, saya tetap rasa
gembira kerana semua pemain Selangor telah mempamerkan aksi yang menarik malam
tadi (kelmarin),” katanya ketika dihubungi semalam.
Pada perlawanan itu, Selangor
mendahului 1-0 seawal minit keenam menerusi tandukan Frank Seator tetapi pada
penghujung perlawanan, Flor menanduk masuk gol penyamaan hasil sepakan penjuru.
“Sepatutnya Terengganu tak
dapat sepakan penjuru itu. Apa yang saya nampak, bola terakhir sebelum itu
terkena pemain Terengganu sendiri, bukannya pemain Selangor.
“Tetapi inilah bola sepak.
Walaupun sekadar seri, saya puas kerana melihat pemain-pemain saya semakin
mantap dan telah menunjukkan peningkatan pada setiap perlawanan,” jelas Dollah.
Pengendali berusia 45 tahun itu
turut tertarik dengan aksi beberapa pemainnya seperti pemain muda, Asraruddin
Putra Omar dan bekas pemain Pahang, Indra Putra Mahayuddin.
“Walaupun kali pertama
diturunkan dalam kesebelasan utama, Asraruddin berjaya membalas kepercayaan.
Saya tak menduga dia boleh beraksi cemerlang.
“Begitu juga Indra yang turut
mempamerkan kecemerlangan pada perlawanan itu.”
SUMBERArtikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0117&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4w8zFYN22
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan