Sabtu, 29 Februari 2020

Dollah hormati Red Giant

SUKAN»Bola
Sabtu, 29 Februari 2020 | 2:27pm
 
Dollah memberi arahan kepada pemain pada sesi latihan terakhir sebelum bertemu Selangor di Stadium Darulmakmur, malam ini. - NSTP/Mohd Rafi Mamat
Dollah hormati Red Giant
Oleh Mohd Rafi Mamat
sukanteam@nstp.com.my
KUANTAN: Pahang tidak dapat menyembunyikan rasa bimbang berhadapan Selangor pada perlawanan pembukaan saingan Liga Super di Stadium Darulmakmur, malam ini.

Ini diakui jurulatihnya Dollah Salleh yang berpendapat pelawat sememangnya memiliki kelebihan terutama dengan membariskan beberapa pemain terbaik seperti Safuan Baharudin dan Brendan Gan.

Katanya, Red Giant juga membuat persediaan lebih awal bagi menghadapi saingan Liga Super musim ini, mereka juga tidak kurang hebatnya walaupun beraksi di gelanggang lawan.

Menurutnya, walaupun pelawat memiliki kelebihan namun itu tidak bermakna Tok Gajah mudah menyerah kalah terutama di hadapan penyokong setia yang ingin melihat perlawanan pertama malam ini berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Pahang.

"Saya ingin tegaskan bahawa Tok Gajah kini memiliki benteng pertahanan yang terbaik hasil gandingan pemain tempatan dan import. Kelibat Muslim Ahmad, Herold Goulon, Khalil Khamis dan Faizal Rosli kini begitu serasi.

"Walaupun jentera serangan diketuai Dickson Nwakaeme dan Ivan Carlos masih tidak dapat membentuk persefahaman terbaik namun saya tetap menaruh sepenuh kepercayaan yang mereka mampu menyerlah," katanya ditemui pada sesi latihan terakhir Tok Gajah di Stadium Darulmakmur.

Beliau berkata, prestasi terbaik dipamerkan pemain pada perlawanan persahabatan dengan Kuala Lumpur minggu lalu yang berkesudahan kemenangan 3-1 diharap menjadi landasan kepada Tok Gajah untuk melakar kemenangan pertama Liga Super malam ini.

Mengenai ketua pasukan Pahang malam ini, Dollah menegaskan, dia sudah mempunyai calon sesuai untuk mengalas tugas berat berkenaan namun dia tidak boleh diumumkan lagi.

"Saya perlu mendapatkan persetujuan daripada Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang sentiasa memberi sokongan kepada skuad Tok Gajah.

"Kita tunggu malam ini pemain mana yang akan diberi tugas sebagai ketua pasukan...biarlah ia menjadi teka teki," katanya yang berharap kemenangan milik Pahang malam ini.

Pada perlawanan persahabat dengan Kuala Lumpur sebelum ini tugas ketua pasukan digalas Nwakaeme.
SUMBER-https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/02/660598/dollah-hormati-red-giant

Sabtu, 15 Februari 2020

Eksperimen Dollah


MyMetroNode
 
Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Langkah berani dilakukan jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh dalam proses pembentukan semula pasukan apabila memanggil tujuh pemain bukan daripada skuad Piala AFF 2014 termasuk tiga pemain muda yang tidak pernah menyarung jersi kebangsaan bagi aksi persahabatan menentang Oman di Muscat, 26 Mac ini.

Tiga pemain yang mendapat perhatian itu ialah Ahmad Syamim Yahya dari FELDA United dan dua pemain Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II), Che Rashid Che Halim serta Muhammad Akram Mahinan.

Ketika Dollah mengetepikan sembilan pemain skuad naib juara Piala AFF tahun lalu, termasuk penyerang Mohd Safee Sali, Mohd Badhri Radzi, Khairul Fami Che Mat, Mahali Jasuli serta kapten Shukor Adan yang sudah bersara, pengendali berusia 51 tahun itu memanggil semula Joseph Kalang Tie, Junior Eldstal, S Chanturu dan Ahmad Hazwan Bakri untuk bersama pasukan.

Dollah yang bakal memulakan latihan pusat pada 18 Mac ini dengan memanggil kesemua pemain secara berperingkat berikutan ada pemain terikat dengan aksi Piala AFC dan Piala FA mahu menggunakan kesempatan aksi menentang Oman bagi menguji muka baru.

“Pemain yang tidak bersama pasukan bukan bermakna mereka digugurkan. Mereka masih berada dalam perancangan cuma saya mahu menilai kemampuan pemain lain untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“Saya boleh bawa Safee, Apek (Khairul Fahmi) bersama pasukan kerana boleh menyenaraikan hingga 26 pemain, tapi saya fikir 20 sudah cukup untuk saya bawa ke Oman,” katanya.

Ketiadaan Safee pasti membuka peluang kepada penyerang muda Selangor, Ahmad Hazwan Bakri yang kembali mencuri tempat selepas tiga tahun apabila kali terakhir membuat penampilan bersama Harimau Malaya ketika meledak hatrik menewaskan Sri Lanka 6-0 pada aksi persahabatan di Shah Alam pada 2012.

Dollah berkata, kesemua pemain dinilai berdasarkan pemerhatiannya dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana termasuk Syamim, Che Rashid dan Muhammad Akram.

“Saya lihat pemain ini berdasarkan prestasi semasa serta maklumat diberikan rakan jurulatih lain. Mereka muda dan berpotensi, saya mahu tengok sejauh mana kemampuan mereka,” katanya.

Sementara itu Khairul Fahmi, 26, yang ditemui pada majlis pelancaran kasut larian terbaru Puma Ignite akur dengan keputusan Dollah dan bertekad merampas kembali status penjaga gol nombor satu negara.

“Ini pilihan jurulatih. Apa yang perlu saya buat, perbaiki diri untuk memberikan semula keyakinan kepadanya supaya menyenaraikan semula saya dalam skuad kebangsaan. Mungkin ada sesuatu yang tak kena dengan saya. Saya perlu lebih bekerja keras meningkatkan prestasi,” katanya yang beraksi dalam tiga perlawanan awal peringkat kumpulan dan separuh akhir pertama bertemu Vietnam pada Piala AFF 2014.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 10:23 AM

Kejutan Dollah


MyMetroNode

Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beberapa nama besar termasuk penyerang Mohd Safee Sali menjadi ‘korban’ rombakan Dollah Salleh bagi memastikan Harimau Malaya tidak lagi diperlekehkan dalam tiga perlawanan penting, bermula menentang Bangladesh bagi aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, hujung bulan ini.

Selain perlawanan persahabatan itu, 22 pemain dipanggil bagi fasa pertama latihan bermula Ahad ini bagi persiapan mengharungi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi pada 3 September sebelum berdepan Arab Saudi di Stadium Shah Alam (8 September).

Daripada senarai pemain itu, Dollah selaku jurulatih skuad kebangsaan, hanya mengekalkan 11 pemain daripada skuad ketika seri 1-1 dengan Timor Leste dan kalah 0-6 di tangan Palestin dalam aksi kelayakan Kumpulan A Jun lalu.

Yang pasti pengendali itu melakukan kejutan apabila menyisihkan pemain ‘regular’ sebelum ini antaranya Safee, Mohamad Fadhli Shas, Mahali Jasuli, Farizal Marlias (Johor DT), Muslim Ahmad (PDRM) dan Afiq Azmi (Selangor).

Kekosongan itu diisi pemain lama yang kembali mendapat tempat seperti penyerang Norshahrul Idlan Talaha, Baddrol Bakhtiar, Nor Farhan Muhammad serta muka baru, Idris Ahmad, Nurridzuan Abu Hassan serta tak ketinggalan tiga pemain Harimau Muda B, Syahrul Azwari Ibrahim, Nazirul Naim Che Hashim dan S Kumaahran.

Bagi Dollah, beliau percaya sudah tiba masanya untuk memberi laluan kepada beberapa pemain baru seperti penyerang Kumaahran untuk mendapat pendedahan awal di peringkat lebih tinggi.

“Saya fikir Kumahraan antara pemain yang memiliki potensi besar, cuma saya melihat dia kurang keyakinan ketika di padang, tapi boleh diatasi.

“Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan dia antara pemain masa depan Harimau Malaya. Idris juga antara pelatih posisi pertahanan yang wajar diberikan peluang untuk bersama skuad kebangsaan.

“Idris beraksi baik dengan Tiago Junior bersama Perak dan rekod mereka dalam Liga Super boleh dikatakan agak bagus,” katanya semalam.

Semua pemain diarahkan melaporkan diri pada Ahad ini kecuali tiga pemain Johor DT pada 26 Ogos, selepas aksi suku akhir pertama Piala AFC 2015 menentang South China di Larkin (25 Ogos). Empat pemain Pahang pula akan menyertai kem kebangsaan pada 29 Ogos selepas perlawanan suku akhir pertama Piala AFC menentang FC Istiklol (26 Ogos).

Dalam pada itu, bagi memastikan insiden sama tidak berulang, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi amaran awal kepada kesemua pemain yang disenaraikan supaya hadir tanpa sebarang pengecualian bagi mengelak dikenakan tindakan tegas melainkan mereka mempunyai alasan kukuh.

Dalam kenyataan dikeluarkan semalam, FAM meminta mana-mana pemain yang tidak dapat melaporkan diri supaya memaklumkan segera secara bertulis kepada Setiausaha Agung Datuk Hamidin Mohd Amin.

Sebelum ini kontroversi berlaku apabila tiga pemain Selango, Ahmad Hazwan Bakri, Afiq Azmi serta pemain import Robert Cornthwaite gagal menyertai kem latihan pasukan Pilihan Malaysia kendalian Dollah bagi aksi menentang Liverpool, Julai lalu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 9:34 AM

Sabtu, 8 Februari 2020

Tok Gajah tagih sentuhan pemain muda

MyMetroArena
 
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh memuji komitmen barisan pemain muda skuad itu yang bakal berdepan pengalaman baru beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, setakat ini, segalanya dilihat positif berdasarkan prestasi dan semangat yang dipersembahkan ketika latihan dan beberapa aksi persahabatan.

“Saya gembira dengan komitmen mereka (pemain muda) yang berusaha meningkatkan prestasi terutama dari segi permainan dan bersaing dengan pemain lebih berpengalaman.

“Kesungguhan mereka itu diharap memberi lebih keyakinan kerana ada dalam kalangan mereka baru kali pertama di Liga M terutama bersaing di pentas Liga Super.

“Cuma perbezaannya ialah mereka tidak mempunyai pengalaman kerana sebelum ini beraksi dalam Piala Presiden. Tapi saya mengharapkan komitmen tinggi dapat dipersembahkan,” katanya.

Antara pemain muda yang dijangka menyerlah ialah Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim, 23 yang bermain di bahagian serangan.

Musim lalu, Zuhair Aizat Mohd Nazri, 24 dan Shahrul Nizam Mohd Nadzir, 24 sudah membuktikan kehadiran mereka turut memainkan peranan terutama di bahagian tengah.

Dengan kerjasama dan persefahaman pemain berpengalaman, termausk import, skuad Tok Gajah tdijangka tidak berdepan masalah untuk mengekalkan prestasi terbaik dan menyakinkan.

Musim lalu, Pahang muncul naib juara Liga Super dan mara ke separuh akhir Piala Malaysia dan Piala FA.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 10:31 PM