Ahad, 22 September 2019

Pertembungan Dollah, Zainal jadi tumpuan

 SUKAN»Bola
Jumaat, 20 September 2019 | 7:36pm
 
DOLLAH Salleh (kanan) dan Zainal Abidin Hassan.
Pertembungan Dollah, Zainal jadi tumpuan
Oleh Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
KUANTAN: Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan yang pernah bergandingan mengendali Pahang muncul juara Piala Malaysia pada tahun 2013 kini bakal bertembung sebagai seteru pada aksi suku akhir musim ini.

Dua bekas pemain kebangsaan itu masing-masing membimbing Pahang dan Melaka United dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dan pertembungan pada Ahad ini bakal menilai kemampuan taktikal kedua-dua pengendali itu.

Dollah yang juga bekas pengendali Harimau Malaya tidak rela misi menjulang kejuaraan bersama skuad Tok Gajah musim ini disekat Melaka United kendalian bekas rakan sepasukan kebangsaannya itu.

"Apa sekalipun, dalam bola sepak setiap jurulatih mahukan kemenangan dan begitu juga saya yang mengharapkan Pahang menang apabila berdepan Melaka United,” kata Dollah.

"Begitu juga Zainal Abidin kerana kami dalam bola sepak bukan baru dan menjadi lumrah apabila bersaing untuk meraih kejayaan."

Musim ini, pertemuan antara kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super menyaksikan skuad Tok Gajah mencatat kemenangan 4-1 dan seri 1-1.

Namun, kali ini ia pentas yang berbeza selepas kebangkitan yang dilakukan skuad kendalian Zainal Abidin untuk mengetepikan FELDA United FC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Kumpulan D.

Pada perlawanan suku akhir pertama Ahad ini, Dollah dijangka menyenaraikan kesebelasan terbaik termasuk penyerang berbisa, Dickson Nwakaeme.
Pahang turut menagih sentuhan pemain pertahanan, Herold Goulon yang sudah menjaringkan 11 gol musim ini termasuk jaringan ketika menewaskan Pulau Pinang 2-0, Rabu lalu.
SUMBER- BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 20 September 2019 | 7:36pm

Ahad, 15 September 2019

Dollah tak dapat keserasian enam tonggaknya


MyMetroArena
Farah Suhaidah Othman
cnews@nstp.com.my

DOLLAH Salleh mengakui keserasian skuad Tok Gajah terjejas ketika menentang Perak pada aksi perlawanan Piala Malaysia malam tadi berikutan enam tonggaknya tidak dapat bersama dalam latihan bagi menyusun strategi selepas terbabit dengan tugasan skuad kebangsaan.

Empat dari pemainnya iaitu Norshahrul Idlan Talha, Matthew Davis, Mohamadou Sumareh dan Muhamad Nor Azam Abdul Azih terikat dengan skuad kebangsaan pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 selepas menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Selasa lalu.

Dua lagi iaitu Muhamad Safuwan Baharudin beraksi untuk pasukan kebangsaan Singapura dan Saddil Ramdani bersama pasukan Indonesia.



Pengendali Pahang itu berkata, permainan pasukan Pahang tidak mempamerkan corak permainan sebagaimana selalu dan akui persembahan anak buahnya agak kucar-kacir malam tadi.


Dollah tidak dapat keserasian enam tonggaknya. FOTO NSTP
"Puncanya mungkin sebab enam pemain kebangsaan iaitu empat dari kita (skuad Harimau Malaya) dan dua lagi dari Singapura dan Indonesia terpaksa bertemu di Ipoh.

"Kita tidak dapat adakan latihan namun saya bagi mereka bermain jadi di situ tidak ada keserasian selepas tiga minggu tidak bersama dan malam ini memang bukan pasukan Pahang yang sebenar," katanya selepas perlawanan di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.

Kekalahan skuad kendaliannya dengan keputusan 1-3 malam tadi bagaimanapun tidak menjejaskan kedudukan Pahang yang sudah menempah tiket untuk ke pusingan suku akhir.

Beliau turut mengakui, pengesahan selaku juara kumpulan dan layak ke pusingan seterusnya turut menjadi punca anak buahnya tewas pada perlawanan malam tadi.

"Mungkin sebab lain pemain agak selesa dengan kedudukan kita yang sudah layak tetapi saya percaya kita akan bangkit walaupun berbaki satu lagi perlawanan," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 5:08 PM


Sabtu, 14 September 2019

Pahang mahu kekal momentum di Ipoh

SUKAN»Bola
Jumaat, 13 September 2019 | 12:43pm
 
Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh. - NSTP/Owee Ah Chun
Pahang mahu kekal momentum di Ipoh
Oleh Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my

KUANTAN: Tiada istilah `makan angin' buat skuad Pahang apabila berdepan Perak di Stadium Perak, Ipoh, malam esok. 

Sebaliknya, skuad kendalian Dollah Salleh itu mahu mempertahankan rekod tanpa kalah sepanjang saingan peringkat Kumpulan C Piala Malaysia. 

Justeru, Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan mengharapkan momentum empat kemenangan yang direkodkan sebelum ini diteruskan.

"Memang Pahang sudah layak ke suku akhir tetapi kami akan memastikan kunjungan ke Ipoh akan berakhir dengan kemenangan memihak kepada Tok Gajah.

"Segalanya diharap menjadi biarpun saingan Piala Malaysia berehat selama tiga minggu," kata Dollah.

Beliau berkata, berdasarkan komitmen sepanjang latihan, semua pemain kecuali mereka yang menyarung jersi skuad negara begitu komited terhadap pasukan.



Katanya, semangat itu diharap dapat diperagakan dengan cemerlang untuk meneruskan rentak kemenangan dalam dua baki perlawanan. 

"Saya jangkakan saingan sengit bakal dihadapi pemain kerana Perak mahukan kemenangan untuk mengisi satu lagi slot ke suku akhir dalam Kumpulan C.



"Biarpun Pahang sudah mengesahkan tempat, ia tidak bermakna kami membenarkan tuan rumah mengutip mata mudah. 

"Kemenangan perlu untuk mengekalkan persembahan konsisten sebelum berdepan lawan lebih getir di suku akhir nanti," katanya. 

Perebutan satu lagi slot dalam Kumpulan C kini membabitkan tiga pasukan iaitu Perak, Pulau Pinang dan Sabah.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 13 September 2019 | 12:43pm

Tagih aura pemain Harimau Malaya

 
MyMetroArena

Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my


PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh berharap dapat menurunkan empat pemain skuad itu yang menyarung jersi Harimau Malaya pada perlawanan Piala Malaysia berdepan Perak, esok.

Bagaimanapun, Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, setakat ini, beliau hanya boleh mengesahkannya sebaik bertemu empat pemain itu di Ipoh nanti.

“Skuad Pahang hanya akan bertemu empat pemain ini di Ipoh dan saya akan menilai prestasi mereka sama ada disenaraikan dalam kesebelasan utama atau tidak.

“Keputusan itu bergantung kepada prestasi selepas mereka mengharungi dua perlawanan bertemu Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).


“Walaupun Pahang sudah mengisi slot ke suku akhir Piala Malaysia, saya tetap mahukan keputusan positif apabila bertemu Perak,” katanya.

Empat pemain berkenaan ialah kapten pasukan, Matthew Davies, Norshahrul Idlan Talaha, Mohamadou Sumareh dan Nor Azam Azih.

Ditanya status pemain import dari Indonesia, Saddil Ramdani yang turut menyarung jersi negaranya, Dollah berkata, pemain berumur 20 tahun itu sudah berada di Kuantan malam kelmarin.

Katanya, Saddil akan bersama rakan sepasukan ke Ipoh tetapi beliau akan menilai tahap kecergasan untuk disenaraikan pada perlawanan itu.

“Misi di Ipoh adalah mengekalkan momentum kemenangan dan diharapkan segalanya menjadi,” katanya.

Dalam Kumpulan C, Pahang sudah mengesahkan tempat ke suku akhir selepas mengutip 12 mata daripada empat perlawanan.

Perebutan satu lagi slot antara Perak, Pulau Pinang dan Sabah.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 6:00 AM