Selasa, 5 Disember 2017

Devan, Durakovic calon ganti Dollah

ARKIB : 11/09/2008
KUALA LUMPUR - Barisan kejurulatihan Selangor bagi menghadapi persaingan bola sepak Liga Malaysia 2009 mengalami rombakan besar-besaran dengan P. Maniam dinaikkan sebagai penolong jurulatih daripada skuad Piala Presiden manakala K. Devan dan Mehmet Durakovic dicalonkan sebagai pengganti Dollah Salleh yang khidmatnya tidak lagi disambung sebagai ketua jurulatih, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Pengurus pasukan Selangor, Zakaria Ab. Rahim berkata, usaha mendapatkan Devan atau Durakovic masih di peringkat rundingan yang bergantung kepada kemampuan tawaran gaji, perancangan dan kontrak mereka dengan majikan sekarang tetapi sesiapa yang dilantik, bakal ditetapkan sasaran menyamai tiga gelaran Liga M milik Kedah, baru-baru ini.

"Keputusan tidak meneruskan khidmat Dollah dibuat oleh pengurusan FAS (Persatuan Bola Sepak Selangor) yang mahukan pembaharuan dan kelainan persembahan pasukan supaya penyokong Merah Kuning kembali memenuhi stadium musim depan setelah mereka mengadu asyik dihidang benda yang sama," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Zakaria tidak menafikan kegagalan menyumbangkan walau satu piala pun sepanjang musim 2007-2008 mempengaruhi keputusan FAS itu namun Selangor kali ini mahu mencari seorang jurulatih yang mampu mencapai sasaran merangkul tiga gelaran semusim - Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA.

Katanya: "Kami juga mahu tetapkan sasaran buat ketua jurulatih baru ini supaya membawa Selangor layak ke Piala AFC 2010 menerusi kejayaan menjuarai Liga Super atau Piala FA musim 2009," katanya yang turut menganggap matlamat itu setimpal dengan reputasi Gergasi Merah di arena bola sepak tempatan.

Maniam menerajui skuad Bawah 19 Tahun Selangor menjuarai Piala Belia 2007 dan skuad Bawah 21 Tahun menjulang Piala Presiden 2008 yang mengakhiri penantian 10 tahun dengan menewaskan juara bertahan, Perak 1-0, bulan lalu.

Devan kini bersama Kuala Muda Naza manakala Durakovic, 43, pernah mewakili Selangor dari 1995 hingga 1998 dengan menjulang Piala Malaysia tiga kali berturut-turut (1995, 1996 dan 1997).
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0911&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz50OEdroOS

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan